Tempatan

Bekalan Ayam : Syarikat Besar Tidak Minat Pohon Subsidi, Mahu Harga Ditentukan Pasaran – Ismail Sabri

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PUTRAJAYA, 25 Mei 2022 – Pihak Kerajaan mendapati beberapa syarikat besar tidak berminat untuk memohon subsidi dan mahu harga ayam ditentukan oleh pasaran, ujar Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri meluahkan kekecewaannya berikutan tindakan beberapa buah syarikat yang tergamak menghentikan bekalan ayam sehingga berlakunya peningkatan harga dan kekurangan bekalan di pasaran.

“Kerajaan sedar terdapat laporan bahawa wujud kartel yang mengawal harga dan pengeluaran ayam dalam kalangan syarikat besar. Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sedang menyiasat perkara ini dan siasatan dijangka selesai pada bulan Jun ini.”

Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berjanji bahawa pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap kartel pengawal harga ayam sekiranya hasil siasatan menunjukkan kewujudan pakatan tersebut.

“Jika didapati wujud kesepakatan kartel tersebut, Kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka.”

Peguam Negara telah menasihatkan Kabinet untuk mengguna pakai di bawah Penguatkuasaan Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) jika terdapat sebarang aktiviti menyorok, menyimpan atau unsur-unsur sabotaj terhadap bekalan ayam, menurut beliau lagi.

“Tindakan boleh diambil di bawah Akta tersebut dan lesen mereka juga boleh dibatalkan serta merta.”

Beliau juga berikrar untuk memperkenalkan semula “jihad” memerangi orang tengah yang selama ini memanipulasi bekalan dan harga bagi menghentikan kegiatan kartel ayam ini.

“Kerajaan akan memperkenalkan semula Jihad memerangi orang tengah yang telah saya perkenalkan pada tahun 2014. Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) diberikan peranan untuk mengetuai Jihad Memerangi Orang Tengah ini.”

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: