Tempatan

Bank Boleh Beku Akaun Suami Dalam Proses Perceraian

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 11 Mac 2022 – “Kerajaan melalui Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia turut memperkenal Akta Pembiayaan Kewangan yang mana pihak bank boleh membekukan akaun suami atas arahan mahkamah.”

“Pihak bank juga dibenarkan membuat bayaran daripada akaun suami yang telah dibekukan tersebut kepada isteri, sekiranya isteri ada membuat tuntutan yang melibatkan wang di mahkamah.”

“Ia bagi membantu wanita yang menghadapi proses perceraian panjang, Institusi Hakam di bawah Mahkamah Syariah dimantapkan lagi.”

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob semasa Sambutan Hari Wanita 2022 yang bertemakan “Saksama Bersama” di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 8 Mac 2022.

Selain itu, sebagai usaha untuk mengurangkan kesedihan dan bebanan yang ditanggung oleh balu yang baru kematian suami, ketua jabatan dan pengurusan tertinggi semua organisasi digalakkan untuk membenarkan wanita tersebut bekerja dari rumah.

“Saya nak perkara ini diwajibkan untuk membenarkan wanita bekerja dari rumah dalam tempoh bersesuaian bagi membolehkan urusan keluarga dan peninggalan suami diselesaikan,” ujar Perdana Menteri.

Di samping itu, Dato’ Sri Ismail Sabri turut memaklumkan bahawa kerajaan perlu mengambil inisiatif dalam memperbanyakkan lagi pusat sokongan sosial setempat serta memperkasakan bahagian siasatan seksual wanita dan kanak-kanak di Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan jenayah terhadap kaum wanita diambil tindakan yang tegas dan pantas.

“Bagi memastikan kesihatan wanita terus terpelihara, kerajaan juga memperuntukkan RM11 juta sebagai subsidi untuk ujian mamogram kepada wanita berisiko tinggi dan pelaksanaan ujian saringan kanser serviks kepada wanita.”

“Remaja wanita turut mendapat perhatian yang mana kit asas kebersihan diri diedarkan secara percuma kepada 130,000 remaja B40 setiap bulan sepanjang tahun,” jelas beliau lagi mengenai hal ini.

Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob juga mengumumkan Sambutan Hari Wanita perlu diadakan pada 8 Mac setiap tahun di peringkat persekutuan dan juga negeri bagi menghargai dan mengiktiraf peranan serta sumbangan wanita.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: