Malaysia Iktiraf Ijazah Dari 208 Universiti di Turki
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
ANKARA, 13 Julai 2022 – Kerajaan Malaysia kini mengiktiraf ijazah dari 208 universiti di seluruh Turkiye, ujar Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob kepada Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dalam lawatan rasmi selama empat hari ke republik itu.
Berita baik tersebut merupakan usaha untuk meningkatkan produk penyelidikan bertaraf antarabangsa dari institut pengajian tinggi di kedua-dua negara.
“Ia adalah khabar yang dinanti-nantikan oleh anak-anak Keluarga Malaysia yang telah dan sedang menimba ilmu di negara ini,” kata Ismail Sabri, lapor Berita Harian.
Menerusi lawatan tersebut, Malaysia dan Turkiye turut bersetuju untuk bekerjasama dalam memastikan rantaian bekalan makanan sentiasa terjamin dan stabil. Kedua-dua negara juga bersepakat bahawa isu keselamatan makanan kian meruncing akibat pandemik COVID-19 dan konflik peperangan Rusia-Ukraine.
Beliau berkata, pelbagai langkah segera akan dilaksanakan bagi memastikan rantaian bekalan makanan kedua-dua negara mencukupi.
Berhubung sokongan perjuangan Palestin pula, kedua-dua negara Islam itu masih bersependapat dalam menyokong dan Malaysia menghargai usaha serta pendirian Turkiye dalam membela rakyat Palestin.
“Kedua-dua negara bersama negara yang berfikiran serupa akan terus menyelaras usaha ke arah menamatkan pendudukan rejim zionis dan merealisasikan Palestin sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat,” katanya.