Tempatan

Langgar Perjanjian, Malaysia Diarah Bayar RM63 Bilion Pada Waris Sultan Sulu

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

SEPANG, 03 Mac 2022 – Kerajaan Malaysia diarahkan membayar sekurang-kurangnya AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) kepada waris sultan Sulu yang terakhir setelah melanggar perjanjian 1878 yang ditandatangani oleh Sultan Jamal Al Alam, Baron de Overbeck dan Alfred Dent, pemilik North Borneo Chartered Company.

Gonzalo Stampa, penimbang tara Sepanyol telah mengarahkan pembayaran itu semasa perbicaraan di mahkamah arbitrasi di Paris, Perancis.

Menurut artikel yang dikeluarkan oleh laman web berita Sepanyol, La Información, Stampa mengatakan bahawa perjanjian 1878 merupakan “perjanjian pajakan swasta antarabangsa” komersial.

MalaysiaKini melaporkan bahawa Malaysia berhenti membayar wang pemisahan tahunan sebanyak RM5,300 sejak berlakunya pencerobohan Sulu di Lahad Datu, Sabah pada tahun 2013 yang mengakibatkan 15 kematian.

Berikutan pelanggaran perjanjian itu, Malaysia diberikan tempoh tiga bulan untuk membayar jumlah tersebut kepada waris sultan Sulu yang terakhir. Jika tidak, Malaysia berisiko untuk membayar faedah selagi anugerah itu tidak terbatal.

Pada 22 Januari 1878, satu perjanjian telah dibuat oleh North Borneo Chartered Company agar Sabah diserahkan kepada mereka dengan bayaran 5,000 Malayan dollar setiap tahun kepada Kesultanan Sulu sebagai syarat.

Berikutan itu, Kesultanan Sulu telah dibayar setiap tahun selama tempoh British memerintah Sabah dan diteruskan pula oleh Malaysia bermula dari tahun 1963. Walau bagaimanapun, Malaysia tidak lagi meneruskan pembayaran tersebut setelah berlakunya pencerobohan berdarah yang dilakukan oleh Kesultanan Sulu pada 2013.

Dr. Ahmad Sauffiyan Hassan, Pensyarah Kanan, Pusat Kajian Media dan Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menganggap provokasi itu dikhuatiri akan meningkatkan semangat nasionalisme dalam kalangan pengganas dari selatan Filipina dan akan membuatkan mereka tidak teragak-agak untuk mengangkat senjata bagi menuntut Sabah.

“Isu tuntutan ini bukan sekadar satu gurauan kasar sebaliknya ia adalah satu ancaman keselamatan negara yang amat serius dan membimbangkan,” tegasnya.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan bahawa Kementerian Luar dan Pejabat Peguam Negara akan mengeluarkan kenyataan mengenai arahan pembayaran kepada waris sultan Sulu itu.

“Kementerian Luar dan Pejabat Peguam Negara akan buat kenyataan bersama nanti,” ujarnya.

Leave a Reply

Back to top button