Antarabangsa

Serangan Rafah – Netanyahu “Langgar” Biden

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

RABU, 20 MAC 2024 – Perdana Menteri rejim haram Israel, Benjamin Netanyahu telah menolak untuk membatalkan serangan darat besar-besaran di kawasan hujung selatan Semenanjung Gaza, yang mana tindakan tersebut telah mengabaikan amaran Amerika Syarikat (AS) bahawa operasi tersebut akan membunuh lebih ramai orang awam serta memburukkan lagi krisis kemanusiaan.

Netanyahu menerusi kenyataan yang dibuatnya pada Selasa lalu menyatakan bahawa pihak mereka tidak bersetuju dengan amaran AS. Ujar Netanyahu,

“Kami tidak bersetuju dengan warga Amerika berkenaan keperluan untuk memasuki Rafah.”

“Kami tidak nampak sebarang cara untuk memusnahkan Hamas tanpa menghancurkan batalion-batalion yang tinggal. Kami nekad untuk melakukannya.”

Kenyataan tersebut dibuat sehari setelah Presiden AS, Joe Biden menggesa Netanyahu untuk membatalkan perancangan-perancangan rejim tersebut untuk menyerang Rafah.

Amaran AS yang dikeluarkan pada Isnin lalu itu menyatakan bahawa operasi serangan besar-besaran di Rafah “akan menjadi suatu kesilapan”.

Menurut Jake Sullivan yang merupakan Penasihat Keselamatan Kebangsaan AS, tindakan rejim tersebut akan membawa kepada lebih banyak kematian orang awam yang tidak bersalah, memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang kini sudah sangat dahsyat, memburukkan lagi keadaan anarki di Gaza serta akan lebih menjadikan Israel asing di mata dunia.

Biden sebelum ini bersungguh-sungguh menegaskan bahawa Israel mempunyai rancangan yang bagus untuk mengelakkan kematian orang awam di Rafah sebelum serangan, namun kini pendirian yang dinyatakan beliau adalah sebaliknya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: