Tempatan

Tiada Lagi Miskin Tegar Dalam Negara 2025

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

TAPAH, 20 Jun 2022 – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed yakin tiada lagi rakyat miskin tegar menjelang 2025 di Malaysia.

Keyakinan itu berdasarkan kepada pendekatan baharu melibatkan tindakan bersepadu semua pihak terlibat dan pemantauan berterusan bagi memastikan tiada yang tercicir dalam mencapai inisiatif tersebut, lapor Sinar Harian.

Dalam masa yang sama, keyakinan bahawa sasaran sifar miskin tegar itu akan tercapai juga selari dengan rekod pencapaian negara dalam menjayakan pelbagai program pembasmian rakyat miskin tegar di negara ini.

Menggunakan China sebagai perbandingan, Datuk Seri Mustapa berkata, “Februari tahun lalu Presiden China mengisytiharkan sudah tiada rakyat miskin tegar di negara itu.”

Kerana itu, “Jika negara terbesar dalam dunia dengan 1.4 bilion penduduk sudah dapat menghapuskan rakyat miskin tegar sejak tahun lalu, jadi kita rasa Malaysia juga boleh,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai sasaran Kerajaan itu, beliau berkata, “Pendekatan kali ini lebih baik kerana semakin banyak penjelasan yang kita buat dan pantau. Inisiatif membasmi kemiskinan merupakan satu daripada 17 Agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (dalam mencapai negara maju).”

Mac lalu, media melaporkan, Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob menyatakan, Kerajaan melalui Unit Perancangan Ekonomi (EPU) sedang melaksanakan Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) yang bertujuan menghapuskan miskin tegar pada 2025 yang bermula pada April 2022.

Menerusi BMTKM, Kerajaan akan menggunakan beberapa pendekatan seperti menubuhkan Unit Kemiskinan khusus di peringkat Persekutuan, negeri dan daerah.

BMTKM adalah sejajar dengan dasar dan strategi baharu untuk membasmi kemiskinan tegar pada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: