Tempatan

Kartel Mungkin Cetuskan ‘Huru-Hara’ Pasaran Ayam

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PETALING JAYA, 19 Mei 2022 – “Pihak kerajaan perlu mengambil serius masalah ini kerana ini bukan lagi isu atau masalah mengenai harga tetapi lebih kepada bekalan makanan asas masyarakat negara yang bakal terputus lalu menghuru-harakan pasaran industri negara.”

Menurut sumber dalaman industri kepada Utusan Malaysia, terdapat sekumpulan kartel industri ternakan ayam didakwa merancang menutup ladang ternakan pada Sabtu dan Ahad ini sebagai protes terhadap Kerajaan kerana lambat melakukan pembayaran subsidi harga ayam sebanyak 60 sen.

Malah, ada sebuah syarikat ladang ternakan di Melaka mengeluarkan satu pekeliling kepada pembekal bahawa bekalan ayam akan dihentikan pada 21 hingga 22 Mei ini atas alasan ‘masalah-masalah ayam di ladang ternakan’.

“Saya percaya niat mereka adalah untuk boikot kerajaan, pengguna dan pihak lain.”

“Alasan mereka lakukan itu juga adalah kerana kos dedak dan anak ayam yang semakin meningkat serta kelewatan bayaran subsidi daripada pihak berkuasa.”

Tambahnya lagi, keputusan ini dibuat apabila strategi lama “tangan hitam” untuk mencatu ayam di dalam pasaran sebelum ini gagal.

Dia yang mempercayai tindakan berkenaan didalangi sebuah persatuan itu berkata, penutupan ladang ternakan ayam terbabit akan menyebabkan pasaran tidak lagi dapat menampung permintaan pengguna kerana rantaian akan terputus sepenuhnya apabila ia berlaku.

“Penutupan itu bukan sahaja bakal meningkatkan harga ayam di pasaran manakala pengguna pula perlu berebut untuk mendapatkan bekalan yang dicatu oleh mereka malah turut menjejaskan operasi perniagaan pembekal.”

Sebelum ini, terdapat pendedahan mengenai wujudnya kumpulan kartel yang mengawal harga pasaran ayam dengan menggunakan persatuan sebagai kaedah penyamaran perbuatan mereka.

“Pembekal terpaksa mengikut kenaikan harga dari ladang menyebabkan penjual juga terpaksa jual dengan harga yang tinggi kepada pengguna walaupun antara tiga komponen itu sudah melebihi harga kawalan.”

Namun, dia menegaskan punca kenaikan harga itu adalah disebabkan kenaikan kos operasi.

“Punca masalah adalah satu dunia, banyak negara mula berhenti eksport gandum dan jagung sedangkan sebelum ini jika dua barangan itu tidak berkualiti ia akan menyebabkan tumbesaran ayam terbantut,” jelasnya.

Oleh itu, dia memohon agar pihak berwajib bertanggungjawab menyelesaikan masalah ini dan bukan hanya semata-mata jadi ‘juara’ untuk kekalkan harga murah, tetapi juga menyelesaikan masalah induk kepada penternak agar tiada lagi kerugian yang harus ditanggung oleh penternak.

“Mungkin ini masanya untuk mereka buat sesuatu agar kerajaan tahu akan masalah utama dan mula ambil serius. Jika tidak perang antara peladang dan pihak berkuasa akan terus berlanjutan, korbannya rakyat biasa,” katanya.

Leave a Reply

Back to top button