Monkeypox: UAE Catat Kes Pertama
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
RABU, 25 Mei 2022 – Kementerian Kesihatan dan Pencegahan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) mengumumkan telah mengesan kes penyakit cacar monyet (monkeypox) pertama di negara tersebut, menurut portal Roya News.
Kes pertama tersebut melibatkan pesakit yang berusia 29 tahun yang melawat UAE dari Afrika Barat dan wanita itu kini sedang menerima rawatan perubatan yang sepatutnya.
Kementerian tersebut menegaskan bahawa pihak berkuasa kesihatan UAE sedang mengambil semua langkah yang perlu iaitu antaranya kenalan kepada pesakit sedang diuji dan ujian susulan akan dijalankan.
Menurut Kementerian itu lagi, langkah yang digunakan adalah berdasarkan mekanisme pemantauan dan pengesanan epidemiologi tahap tertinggi untuk melindungi masyarakat daripada penyakit berjangkit dan bagi menemukan kes dengan cepat, serta berusaha untuk mengehadkan penyebaran pelbagai penyakit dan virus, termasuk virus cacar monyet.
Tindakan tersebut adalah dengan kerjasama antara Kementerian Kesihatan dan Pencegahan UAE dengan pihak berkuasa kesihatan UAE.
Dalam pada itu, virus monkeypox ini dilaporkan boleh merebak menerusi titisan pernafasan selain boleh dijangkiti mereka yang terdedah secara hampir dengan luka, cecair tubuh dan peralatan yang telah dicemari virus itu, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Perkhabaran WHO ini agak menyamai apa yang telah dimaklumkan oleh pakar-pakar perubatan pada masa lalu mengenai Covid-19 sewaktu gelombang pertama jangkitan virus itu di peringkat global, bahawa penyakit ini juga boleh dijangkiti menerusi titisan pernafasan.