Tempatan

Cuaca Panas: Sebahagian Sungai Pahang Bertukar Padang Pasir

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

MARAN, 22 Mac 2024 – Sungai Pahang di Kampung Pesagi, Chenor dilaporkan berubah menjadi padang pasir susulan peralihan Monsun Timur Laut yang membawa cuaca panas dan kering.

Keadaan ini sedikit sebanyak menimbulkan masalah buat penduduk setempat kerana kebanyakan mereka mencari rezeki di Sungai Pahang sebagai nelayan dan penternak ikan sangkar.

Menurut seorang penduduk Setafar Chik, 65, berkata, kawasan itu dahulunya mempunyai aliran sungai deras dengan pelbagai spesies ikan bernilai tinggi, tetapi kini berubah menjadi padang pasir yang membahang pada tengah hari.

“Kesan langsung ditanggung oleh lebih 40 nelayan sungai dari beberapa buah kampung iaitu Kampung Pesagi, Kampung Tanjung Berangan, Kampung Sanding dan lain-lain kehilangan sumber pendapatan,” katanya.

Jelasnya, keadaan ini tidak asing buat mereka. Namun begitu, keadaan semakin memburuk saban tahun.

“Kejadian air kering di alur sungai ini sudah biasa berlaku, cuma setiap tahun ia makin teruk.”

“Macam tahun lepas pun ada juga (berlaku), tapi antara Julai dan Ogos.”

“Tahun ini awal lagi dah jadi begini, susah sikitlah untuk kami yang cari rezeki di sungai,” katanya.

Alur sungai yang kering merangkumi kawasan seluas hampir tiga kilometer persegi itu didakwa mengakibatkan ramai pengusaha ikan sangkar mengalami kerugian puluhan ribu ringgit setiap kali fenomena itu berlaku.

Justeru, En Setafar memohon kerajaan negeri agar mendalamkan semula alur sungai tersebut.

“Seberang (sungai) sana ada orang korek (lombong) pasir, jadi sebelah sana air tak kering macam di sini.”

“Aktiviti itu juga secara tidak langsung mewujudkan lubuk ikan dan membantu kami nelayan sungai meningkatkan hasil tangkapan.”

“Kalau sebelah sini pun boleh korek juga pasir, rasanya adalah air di alur sungai kampung kami,” katanya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: