Fenomena Gelombang Haba, Nasihat Akan Dikeluarkan Jika Suhu Melebihi 37 Darjah Celsius
PUTRAJAYA, 07 Julai 2023 – Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) akan mengeluarkan Nasihat Gelombang Haba sekiranya bacaan suhu maksimum harian melebihi 37 darjah celcius.
Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yang merujuk kepada kenyataan Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO) yang dikeluarkan baru-baru ini berkata telah bermulanya fenomena El Nino di mana kekuatannya dijangka meningkat pada penghujung tahun 2023 sehingga awal tahun 2024 dengan kebarangkalian melebihi 90 peratus.
Katanya, fenomena El Nino terjadi apabila berlakunya pemanasan suhu permukaan Lautan Pasifik di sekitar Khatulistiwa melebihi 0.5 darjah celsius berbanding nilai purata jangka panjang.
Kebiasaannya, fenomena tersebut berlaku pada setiap dua hingga tujuh tahun dan berlanjutan antara sembilan hingga 12 bulan.
BACA JUGA: NGO LGBT Cuba Gambarkan Kumpulan Mereka Terancam Di Malaysia
BACA JUGA: Kos Haji Swasta Mungkin Capai Sehingga RM60,000 Tahun Depan
BACA JUGA: Sweden Pertimbang Haramkan Pembakaran Al-Quran
“Pada awal tahun 2024, fenomena El Nino dijangka akan memberikan kesan yang lebih ketara apabila intensitinya mencapai kemuncak di mana negara akan mengalami cuaca panas dan kering berpanjangan.”
Jelasnya, perkara itu akan menyebabkan peningkatan suhu serta pengurangan jumlah hujan di mana ia berpotensi mengakibatkan keadaan jerebu merentas sempadan sekiranya pembakaran hutan dan tanah gambut tidak terkawal.
“Semasa keadaan cuaca panas, semua pihak dinasihatkan supaya mengamalkan langkah penjimatan dalam penggunaan air. Orang ramai turut dinasihatkan agar mengelak daripada melakukan pembakaran terbuka, mengurangkan aktiviti di luar rumah atau bangunan dan minum air secukupnya,” kata kementerian tersebut.
Dalam masa yang sama, kementerian itu turut menyarankan orang ramai agar sentiasa peka dengan perubahan cuaca serta mendapatkan maklumat dan amaran cuaca terkini melalui laman web rasmi aplikasi myCuaca dan media sosial MET Malaysia.