Aplikasi MyJalan Platform Rakyat Lapor Kerosakan Jalan
KUANTAN, 22 MAC 2024 – Aplikasi MyJalan yang dilancarkan oleh Kementerian Kerja Raya mendapat sokongan penuh daripada Kerajaan Pahang yang mana ia menjadi platform untuk rakyat melaporkan kerosakan jalan.
Menurut Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Tuan Ir Razali Bin Kassim, aplikasi tersebut merangkumi jalan yang diawasi oleh Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), termasuklah jalan Persekutuan, Negeri dan lebuh raya di bawah LLM.
Jelas beliau, menerusi program berkenaan, tahap keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya dapat ditingkatkan di mana aduan kerosakan jalan yang diterima oleh Kementerian Kerja Raya akan disalurkan kepada pihak bertanggungjawab untuk diambil tindakan.
Malah, masyarakat juga dapat memahami perbezaan antara Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri melalui inisiatif tersebut sekaligus mengurangkan kemarahan terhadap Kerajaan Negeri dalam situasi kerosakan jalan.
“Saya juga menyeru agar masyarakat pengguna jalan raya dapat memuat turun aplikasi MyJalan ini untuk membuat sebarang aduan serta mendapat pelbagai maklumat daripada pihak Kementerian Kerja Raya,” katanya.