Tempatan

PM Kecewa Beberapa Syarikat Hentikan Bekalan Ayam

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PUTRAJAYA, 24 Mei 2022 – Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkata pihak Kerajaan kesal dan kecewa terhadap tindakan beberapa buah syarikat yang menghentikan bekalan ayam sehingga menyebabkan berlakunya peningkatan harga dan kekurangan bekalan di pasaran.

Katanya, Kerajaan mengambil berat dan memandang serius isu tersebut dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menjejaskan kehidupan rakyat.

Sebagai langkah jangka pendek, Kerajaan telah menetapkan beberapa pendekatan segera dalam usaha mengatasi kekurangan bekalan ayam di pasaran.

Antara langkah terbabit adalah pemberhentian eksport ayam sebanyak 3.6 juta ekor sebulan bermula 1 Jun ini sehingga harga dan pengeluaran ayam kembali stabil.

Selain itu, Kerajaan juga akan mewujudkan stok penimbal ayam dan mengoptimumkan fasiliti penyimpanan bilik sejuk sedia ada milik Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan agensi.

Pemansuhan Approved Permit (AP) ayam termasuk ayam bulat dan keratan ayam juga akan dikuatkuasakan, di samping menambah dan mengiktiraf loji sembelihan di luar negara bagi meningkatkan peluang penglibatan pengimport untuk menyediakan lebih banyak sumber bekalan.

Kerajaan juga komited untuk mempermudahkan proses tuntutan subsidi oleh pengeluar ayam.

Bagaimanapun, pihak Kerajaan mendapati beberapa syarikat besar pengeluar ayam tidak berminat memohon subsidi disediakan itu, sebaliknya mahukan Kerajaan membiarkan harga ayam ditentukan sendiri oleh pasaran.

“Setakat ini, hanya RM50 juta subsidi telah dibayar kepada penternak yang kebanyakannya adalah syarikat kecil.”

Ketika ini, Kerajaan telah menetapkan harga siling ayam standard pada harga RM8.90 sekilo dengan pemberian subsidi sebanyak RM729.43 juta di bawah Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia (SKHKM) yang dilaksanakan sejak 5 Februari lalu.

Berhubung laporan wujudnya kartel yang mengawal harga dan pengeluaran ayam dalam kalangan syarikat besar, Perdana Menteri berkata Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sedang menyiasat perkara ini dan siasatan dijangka selesai pada bulan Jun ini

“Jika didapati wujud kesepakatan kartel tersebut, Kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka. Pada masa yang sama, Kerajaan akan mengurangkan peranan orang tengah yang selama ini memanipulasi bekalan dan harga.”

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: