Sokong Jihad Kerajaan, Perkasa NAFAS, Tubuh Lembaga Unggas Negara – MTEM
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KENYATAAN MEDIA MTEM
1.MTEM secara dasarnya menyokong penuh ketetapan kabinet yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri dalam menangani isu kekurangan atau kos bekalan ayam dan makanan negara.
2. Ketegasan Kerajaan untuk terus mengekalkan harga ayam standard pada RM8.90 menggambarkan kesungguhan kerajaan untuk memastikan rakyat dapat terus menikmati ayam pada harga yang berpatutan, wajar dipuji! Kerajaan yang benar-benar Prihatin.
3. Kita juga menyambut baik jihad memerangi orang tengah yang akan dipelopori oleh NAFAS termasuklah arahan kepada GLC-GLC untuk terlibat sama mengembleng usaha menangani krisis ini. Contoh yang terkini adalah usaha sama Kerajaan Selangor dan Negeri Sembilan untuk menbangunkan ladang jagung berskala besar dengan kerjasama agensi berkaitan.
4. Namun kunci kejayaan semua ini akan berlaku jika ia berteraskan perincian yang dalam, strategi yang betul, modul-modul yang berimpak tinggi serta objektif-objektif yang jelas. Ia tertumpu pada 7 perkara di bawah, mengikut prioriti keadaan semasa:
I. Penubuhan Lembaga Unggas Negara segera.
II. Perkasakan Fungsi NAFAS.
III. Subsidi perlu bersasar ( pada kos input makanan)
IV. Strategi MAFI yang holistik yang mesra petani skala besar dan kecil, mestilah menuju ke arah 100% tahap sara diri (SSL) sebagai objektif, baik untuk makanan seperti ayam atau input pertanian atau input penghasilan makanan yang sebenar, pada harga yang selari dengan kos sara hidup rakyat. Pelan tindakan perlu disegerakan “semalam”.
V. Kuatkuasakan Akta Pencatutan & Akta Persaingan dengan lebih tegas dan bermakna.
VI. Rasuah dalam Rantaian Bekalan perlu diakui dan dibanteras.
VII. Isu gaji rakyat masih rendah tidak boleh dinafikan lagi.
5. Dapatan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (Dewan Melayu) menunjukkan kos pengeluaran ayam tempatan melebihi harga siling yang ditetapkan. Bilangan ayam import pada harga ini juga terhad. Hanya syarikat besar sahaja yang mampu tetapi tindakan ini boleh membunuh kebanyakan pengusaha dan rantaian bekalan yang bergantung padanya di mana majoritinya adalah peniaga Bumiputera.
6. Persoalan timbul bagaimana kerajaan boleh menetapkan harga serendah ini. Data pasaran yang menipu atau data Kementerian yang bermasalah?
7. Masalah yang bersifat struktural ini hanya boleh diselesaikan sekiranya beberapa langkah tambahan kerana jika tak diperhalusi hanya kartel yang mempunyai modal akan terus menguasai pasaran. Pasaran tidak akan melakukan pembetulan yang Kerajaan atau rakyat harapkan dengan kadar yang pantas.
8. Kita ada Bank Negara untuk kawal selia Institusi Kewangan seperti Bank. Kita juga ada Suruhanjaya Sekuriti (SC) untuk kawal selia syarikat-syarikat korporat. Tapi anenya kita tidak ada satu lembaga yang akan mengawal selia industri makanan dengan berkesan. Malah industri Nenas yang bukan makanan utama kita pun ada lembaga untuk mengawal selia.
9. Jelaslah krisis ini membuktikan sebuah Lembaga Unggas perlu ditubuhkan untuk mengimbangi keperluan pengguna dan pengusaha atau pengeluar ayam dan telur, yang kecil dan yang besar, yang lebih adil dan mampan yang tidak meminggirkan semua pemegang taruh khususnya pengusaha penternak ayam dan telur berskala kecil yang kebanyakan terdiri daripada orang melayu dan bumiputera. Malah Lembaga ini juga boleh memastikan harga ayam yang sepatutnya tanpa meletakkan harga siling apabila ia dapat mengimbangi jumlah bilangan ayam import, bilangan keluaran berskala kecil dan bilangan keluaran yang berskala besar . Ini akan memastikan industri dapat bertahan dan rakyat tidak tertekan dengan permainan nakal orang tengah. Pasaran tidak lagi kawal oleh Kartel.
10. Selari dengan ketetapan Kabinet , DPMM dan MTEM mecadangkan NAFAS diberikan kuasa dan sokongan sebagai GLC utama dalam sektor keselamatan amatlah dialu-alukan. Sebagaimana Petronas menjadi pemain utama dalam sektor minyak dan gas, begitu jugalah NAFAS dalam sektor keselamatan dan kedaulatan makanan khususnya Unggas (Poultry) seperti penghasilan ayam, itik dan sebagainya di mana pemain industri di bawahnya akan diberi ruang untuk terlibat sama.
11. Hakikatnya ayam adalah bahan makanan isi rumah yang bekalannya datang dari sektor penternakan, harganya lebih dipengaruhi kuasa pasaran (flexprice); harga siling dan kawalan bekalan akan meningkatkan kos pengeluaran. Penternak dapati harga animal feed melambung naik menjadikan harga siling tidak “competitive” . Oleh itu subsidi perlu diberi pada punca peningkatan kos yakni input makanan ayam sama ada jagung atau apa sahaja alternatif seperti PKE sebagaimananya yg dicadangkan Kabinet. Jika tidak intervensi kerajaan akan gagal.
12. Malah AP untuk semua ini perlu ditutup semula sejurus selepas krisis ini berakhir, dan hanya GLC seperti NAFAS diberi permit yang tunggal atau utama dan diberi mandat untuk menerajui pelbagai inisiatif termasuk melakukan pelaburan strategik, di mana ia juga akan dikawal oleh Lembaga Unggas yang baru.
13. Kita berharap ketetapan Kabinet YAB Dato Sri Ismail Sabri dengan perincian yang halus dengan objektif yang jelas serta penambahbaikan yang kami cadangkan boleh dilaksanakan dan menunjukkan hasil dengan kadar segera. Jika tidak, bekalan ayam dan makanan bukan sahaja berkurang tapi akan menjadi mahal setelah pengeluar tempatan tidak lagi mampu mengeluarkan hasil yang rakyat perlukan dan kita pula terlalu bergantung pada import ketika itu. Kita mesti elak keadaan yang dikejar tak dpt yang dikendong keciciran pula.
14. Pokoknya yang lebih jelas , adalah isu gaji rakyat yang masih begitu rendah dan gejala rasuah yang menggagalkan pelbagai intervensi Kerajaan. Harap kerajaan dapat mengakui hakikat ini. Dalam setiap krisis , ada peluang yang timbul. Oleh itu, jangan gentar YAB kerana rakyat akan bersamamu dalam jihad ini untuk membetulkan yang salah, meneruskan yang baik untuk kepentingan rakyat dan negara.
Sekian Terima Kasih.
ABDUL HALIM HUSIN
Pengerusi
Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM)
Tentang Kami
Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu Berhad (MTEM) adalah sebuah pertubuhan naungan yang mewakili lebih dari 50 pertubuhan ekonomi Melayu bukan-kerajaan di peringkat kebangsaan. Platform kebangsaan MTEM adalah yang pertama diwujudkan di Malaysia dan mewakili lebih dari 500,000 perniagaan Melayu. MTEM diasaskan oleh DPMM pada tahun 2011.
Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my