MoU Guna Ketum, Ganja Dan Hem Dalam Perubatan
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
SHAH ALAM, 25 Mac 2022 – Satu memorandum menuntut kerajaan membenarkan penggunaan ganja perubatan, hem dan ketum di negara ini dijangka akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob pada minggu hadapan.
Memorandum itu akan diserahkan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin bersama wakil tiga organisasi yang menuntut agar industri ganja perubatan, hem dan ketum diterima di negara ini.
Tiga organisasi itu adalah Pusat Racun Negara (PRN), Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM) dan Cheras Pinang Sdn Bhd.
Datuk Zahidi yang juga Pengerusi IKIAM memaklumkan, memorandum ini juga akan diserahkan kepada Kementerian Kesihatan dan Kementerian Dalam Negeri.
Memorandum ini adalah hasil dapatan kajian mengenai kebaikan dan manfaat ganja, hem serta ketum yang diperoleh menerusi Forum Awam Kemampan Masa Depan Kanabis Perubatan, Hem Perindustrian dan Industri Ketum di Malaysia, yang diadakan 16 Disember tahun lalu.
Menurutnya, memorandum itu adalah langkah pertama dalam usaha untuk menjadikan tanaman ganja, hem dan ketum sebagai produk tanaman komoditi negara.
“Tindakan segera untuk memperoleh kebenaran mengeksport bahan itu ke luar negara perlu bagi mengelak Malaysia ketinggalan dalam mempatenkan bahan itu.”
“Sekarang ini agensi dadah antarabangsa daripada Amerika Syarikat (AS) dan Jerman dalam proses untuk mempatenkan ketum, kalau lambat dapat kebenaran, maka kita akan rugi.”
“Kalau lambat patenkan kita yang tanam ketum ini terpaksa mengeluarkan sejumlah bayaran yang tinggi untuk mengeksport ke luar negara walhal mereka tidak tanam pun ketum,” jelasnya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Penyerahan Memorandum Dapatan Forum Awam: Masa Depan Mampan Industri Perubatan Ganja, Hem dan Ketum di Malaysia pada Selasa lalu.
Beliau berkata, memorandum itu turut akan diserahkan kepada setiap Menteri Besar bagi menerangkan keberkesanan penggunaan ganja, hem dan ketum dalam perubatan.
Beliau akan berjumpa setiap Menteri Besar dan mendapatkan sokongan Ahli Parlimen untuk meminda Akta Racun 1952.
“Sekarang ni kalau kita nak pinda akta boleh, kita akan beri penerangan kepada Ahli Parlimen dahulu. Kalau 115 ahli Parlimen setuju, kita dapat ubah akta.”
Beliau menyatakan, akta sedia ada juga tidak membenarkan ketum dieksport ke luar negara.
Ujarnya, jika tanaman-tanaman ini diluluskan, ia sedikit sebanyak dapat membantu pekebun kecil dan petani di negara ini kerana hasil kajian turut mendapati tanaman seperti ketum mudah hidup tanpa memerlukan kos penanaman yang besar.