Tempatan

Agong Berangkat ke Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 09 Mei 2022 – KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenan berangkat ke Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri 2022, di Seri Perdana semalam.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda ke majlis tersebut yang diadakan di Seri Perdana kira-kira jam 11.30 pagi disambut oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Seri Paduka Baginda kemudiannya diiringi ke bilik santapan khas untuk bersantap juadah tradisi ala desa yang disediakan di Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri tersebut.

Selesai bersantap, Seri Paduka Baginda berkenan berangkat ke khemah utama di Laman Sari untuk beramah mesra dengan rakyat yang hadir memeriahkan majlis rumah terbuka itu.

Diiringi Perdana Menteri, Seri Paduka Baginda berkenan menyantuni pelbagai lapisan masyarakat yang teruja dengan kehadiran Seri Paduka di khemah yang disediakan untuk Keluarga Malaysia yang hadir, serta turut memenuhi permintaan rakyat yang ingin berswafoto.

Dalam hantaran dan gambar yang dimuat naik di Facebook Istana Negara, kegembiraan terpancar di wajah rakyat jelata yang hadir ke Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri ketika disantuni oleh Seri Paduka Baginda.

Dato’ Sri Ismail Sabri dan barisan Kabinet beliau menganjurkan rumah terbuka tersebut buat pertama kali selepas dilantik menjadi Perdana Menteri pada 20 Ogos 2021 dengan membawa tema Raya Keluarga Malaysia, Syawal Dirai, Nikmat Disyukuri.

Leave a Reply

Back to top button