Tempatan

Bekalan Telur Masih Bermasalah Di Kuantan

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUANTAN, 30 November 2022 – Krisis bekalan telur ayam masih lagi berpanjangan di Kuantan apabila bekalan dilaporkan telah kehabisan atau hanya mempunyai stok terhad.

Tinjauan yang dilakukan di pasaraya sekitar bandar ini mendapati rak jualan cuma dipenuhi telur ayam kampung, omega dan premium dalam bekas 10 biji.

Hasil tinjauan juga mendapati berlaku sedikit kenaikan harga telur 30 biji sepapan mengikut gred.

Telur Gred A dijual pada harga RM13.50 hingga RM13.90 berbanding RM12.90 sebelum ini, Gred B RM12.90 (RM12.30) dan Gred C RM12.30 (RM11.70) yang terhad kepada pembelian antara dua hingga tiga papan bagi setiap pelanggan.

Seorang penduduk setempat, Nordin Abdullah, 60, berkata, beberapa pasaraya dikunjunginya hanya mempunyai telur ayam dijual 10 biji sebekas membabitkan jenis serta gred agak mahal.

“Keluarga saya kecil saja, justeru tiada masalah sekiranya membeli dalam kuantiti kecil tetapi yang menghairankan ialah mengapa bekalan telur 30 biji sepapan agak sukar diperoleh sekarang.”

“Beberapa pekerja pasar raya memberitahu, stok yang sampai sekarang tidak banyak seperti biasa. Stok sampai pagi, petang sudah habis dijual,” katanya.

Manakala seorang peniaga di Pasar Besar Kuantan, Shamsul Bahri, 49, memberitahu sukar untuk mendapatkan telur ayam walaupun bekalannya dilaporkan sudah mencukupi dalam pasaran.

“Di pasar pun sama. Ada peniaga menyimpan bekalan untuk pelanggan tetap mereka yang membeli dalam kuantiti banyak.”

“Bagi yang sekadar hendak membeli sepapan saja, kira nasib baiklah kalau dapat. Saya berharap Kerajaan dapat melakukan sesuatu untuk mengatasi masalah bekalan telur ayam yang masih berlarutan ini.”

Sebelum ini, Dato’ Seri Anwar Ibrahim meminta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mengambil langkah perlu untuk mengawal harga makanan, terutama telur ayam.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin juga pernah memberi amaran, individu yang menyorok, menyimpan atau mensabotaj bekalan telur ayam bakal berhadapan denda RM1 juta.

“Peruntukan penalti bagi kesalahan bagi individu akan didenda tidak melebihi RM1 juta atau dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-dua sekali dan perbadanan atau syarikat bakal didenda tidak melebihi RM2 juta.”

“Mana-mana peniaga yang cuba untuk mengambil kesempatan menjual barang-barang harga terkawal melebihi harga yang telah ditetapkan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011,” tegas beliau.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: