Tempatan

Isu Halal: PM Saran Tubuh Suruhanjaya Patuh Syariah

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

SELASA, 31 Mei 2022 – Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob ketika menyampaikan ucaptama sempena program Syarahan Tun Abdullah Ahmad Badawi pada pagi semalam telah membuat satu saranan agar sebuah suruhanjaya ditubuhkan bagi tujuan menggabung serta mengawal selia sektor-sektor ekonomi halal dengan lebih menyeluruh di negara ini.

Ketika menyampaikan ucaptama beliau di Hotel Le Meridian semalam, beliau menyatakan bahawa buat masa ini, cadangan bagi mengadakan tindakan kawal selia hanyalah terhadap sektor kewangan yang diuruskan oleh Bank Negara Malaysia dan juga Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Manakala tindakan bagi mengawal selia industri halal di negara ini pula merupakan bidang kuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Beliau menyatakan bahawa saranan sedemikian adalah bagi tujuan menjadikan negara ini sebagai rujukan utama dalam bidang Ekonomi Halal. Menurut beliau,

“Saya menyeru saranan ini dapat diberi perhatian sewajarnya agar aspirasi menjadikan Malaysia sebagai Model Rujukan Utama dalam bidang Ekonomi Halal dapat direalisasikan.”

Sebelum ini, industri berkenaan produk halal di negara ini mula mendapat perhatian melalui Pelan Induk Perindustrian II 1996-2005, diikuti oleh Dasar Pertanian Negara Ketiga 1998-2010 dan setelah itu melalui Pelan Induk Perindustrian Ketiga 2006-2020.

Beliau turut menambah bahawa permintaan masyarakat terhadap sistem yang bebas daripada riba serta unsur gharar dan maysir (spekulasi atau perjudian) kini telah memacu perkembangan kewangan Islam. Selain itu, perkembangan ini juga adalah disebabkan adanya kawal selia serta model pengembangan sistem kewangan Islam di peringkat antarabangsa.

Malaysia pada masa ini menunjukkan prestasi tertinggi dalam sektor kewangan Islam serta menduduki peringkat pertama dari segi skor petunjuk ekonomi Islam antarabangsa. Ini berdasarkan laporan oleh Global Islamic Economy Report dari tahun siri 2016/2017 hingga 2020/2021, jelas beliau.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: