Tempatan

Kalimah Allah Di Stoking: Pihak Berkenaan Diarah Jalankan Siasatan Rapi

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 18 MAC 2024 – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menzahirkan kekesalannya akan isu kalimah Allah yang dicetak di stoking baru-baru ini sekali gus mengarahkan pihak-pihak berkaitan untuk menjalankan siasatan rapi berhubung perkara tersebut.

“Saya rasa sedihlah dengan apa yang berlaku dengan kejadian penjualan stoking yang ada tertera Allah di situ. Kita berada di dalam bulan Ramadan. Ada yang mengatakan bahawa kita janganlah sensitif dengan isu Allah dekat stoking, tak boleh. Sebab Allah ini satu kalimat yang sangat tinggi di mata orang Islam. Sebab Allah ini adalah pencipta kita dan meletakkan Allah itu di kaki adalah satu penghinaan yang kita tidak boleh nak remehkan.

“Jadi saya mengharapkan sangat khususnya kepada pihak berkenaan untuk tidak mengambil remeh akan perkara ini. Mana-mana jabatan dalam tempat itu audit ke apa kena tengok dulu barang-barang yang nak dimasukkan. Sebab perkara yang sensitif ini susah kita nak maafkan.

“Jadi nasihat saya yang pertama semoga pihak berkenaan dan pemborong-pemborong lain mengambil iktibar akan apa yang berlaku,” tegas beliau dalam satu temu bual selepas Pelancaran Program Hadiah Penjaga Dua Tanah Haram Raja Salman Abdul Aziz Al Saud di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, semalam.

Dalam masa yang sama, beliau turut mengarahkan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk memanggil pihak berkenaan bagi melakukan perbincangan dan siasatan supaya perkara yang sama tidak lagi berulang pada masa akan datang.

Katanya lagi, rakyat khususnya yang beragama Islam diminta untuk memberikan kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.

“Saya harap pihak polis, JAKIM dan KPDNHEP untuk jalankan siasatan rapi, kenal pasti punca siapa yang buat benda ini dan apa niat sebenarnya dia lakukan perbuatan ini.”

Malah, beliau turut mengharapkan agar isu sensitif sedemikian yang melibatkan 3R (Religion, Race, Royalty) ini diambil cakna demi memelihara perpaduan negara ini.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: