Cuaca Panas: 64 Jemaah Haji Malaysia Terima Rawatan Jangkitan Paru-Paru
SEPANG, 19 Jun 2023 – Seramai 64 jemaah haji Malaysia yang terkena jangkitan paru-paru disebabkan keadaan cuaca panas di Tanah Suci sedang menerima rawatan hospital Tabung Haji (TH) dan hospital Arab Saudi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd. Na’im Mokhtar berkata, jumlah jemaah itu termasuk 38 lelaki dan 28 wanita yang menjalani rawatan dan mendapatkan kesembuhan cepat supaya dapat melaksanakan ibadah haji dengan sempurna.
BACA JUGA: PM Gesa Syarikat Beri Elaun Kepada Pelajar Latihan Industri
BACA JUGA: JKN Siasat Kes Kencing Tikus Di Taman Eko Rimba Bukit Wang
Dalam perkembangan lain, Mohd Na’im memaklumkan TH melaksanakan inisiatif baharu program pendidikan kesihatan kepada jemaah haji melalui ‘Ziarah Rahmah’ dengan memeriksa kesihatan jemaah haji dari bilik ke bilik di bangunan penginapan di Madinah dan Mekah.
“Ini adalah salah satu usaha TH dalam mencegah jangkitan penyakit dan menangani risiko kesihatan dalam kalangan jemaah haji Malaysia di mana penyakit berkaitan sistem pernafasan sering berlaku pada setiap musim haji,” katanya di Kompleks Haji di Movenpick hari ini.
Menerusi inisiatif itu katanya, TH dapat memastikan jemaah haji menerima maklumat serta pendidikan kesihatan untuk mereka mempraktikkan aktiviti pencegahan.
“Melalui ziarah itu juga, petugas dapat mengenal pasti sama ada jemaah mengalami masalah kesihatan untuk dirujuk ke klinik atau pakar perubatan berkaitan,” jelasnya.