Tempatan

Pelan Strategik Kementerian Pertahanan 2021-2025

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KHAMIS, 26 Mei 2022 – Kementerian Pertahanan Malaysia telah mengeluarkan Pelan Strategik MINDEF (PSM) 2021-2025, satu dokumen rencana tindakan yang menggariskan strategi dan strategi inisiatif yang perlu dilaksanakan dalam tempoh lima tahun bagi mencapai output dan keberhasilan yang ditetapkan.

Seiring dengan tema Kertas Putih Pertahanan (KPP), PSM 2021–2025 menyokong visi KPP iaitu ‘Malaysia Yang Selamat, Berdaulat Dan Makmur’.

Menurut MINDEF, PSM 2021-2025 adalah usaha penambahbaikan dari pelan-pelan strategik sebelum ini yang hanya berfokus kepada awam atau civilian-oriented kepada gabungan kedua-dua cabang Awam dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“PSM 2021-2025 merupakan pelan yang lebih komprehensif merangkumi perkara berkaitan langkah sokongan, operasi serta latihan dalam konteks mempertahankan kedaulatan negara.”

“Gabungan ini adalah yang pertama kali dilaksanakan Kementerian sebagai satu anjakan paradigma dalam memantapkan lagi hubungan kerjasama awam dan ATM,” kata MINDEF dalam portal kementerian itu.

Menurut Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dalam perutusannya sewaktu menjadi Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan, Pelan Strategik MINDEF 2021-2025 telah dibangunkan sebagai satu rencana tindakan yang perlu bagi merealisasikan visi Kertas Putih Pertahanan.

Kertas Putih Pertahanan menggariskan dimensi dan strategi-strategi pertahanan yang perlu diberikan perhatian bagi mempersiapkan Angkatan Tentera Malaysia dengan kapasiti dan kesiapsiagaan tertinggi untuk berhadapan dengan landskap geopolitikal yang lebih mencabar, kompleks, luar jangka dan berskala besar.

Terdapat tujuh teras yang digariskan dalam PSM 2021-2025 ini yang dilaksanakan berasaskan kepada prinsip SMART iaitu specific, measurable, achievable, relevant dan timeliness.

Di samping itu, terdapat 31 strategi dan 109 strategi inisiatif dirancang di mana semua inisiatif ini merupakan janji yang perlu dicapai.

Teras 1: Peningkatan Kesiagaan Dan Keupayaan Pertahanan Dalam Melindungi Kepentingan Negara

Teras 1 adalah memastikan tahap kesiagaan dan keupayaan ATM berada di tahap tertinggi.

Terdapat dua strategi yang digariskan dalam Teras 1 ini iaitu meningkatkan kesiagaan ATM dan memperkasakan Angkatan Masa Hadapan (AMH).

Usaha ditumpukan kepada pembangunan ATM untuk menjadi angkatan yang bersepadu, tangkas dan fokus serta mampu bertindak balas terhadap sebarang ancaman semasa aman atau konflik, dengan tahap kesiagaan yang tinggi bagi melaksanakan operasi ketenteraan.

Objektif Teras 1 adalah untuk memastikan peruntukan kewangan yang stabil seterusnya dapat merancang dan menguruskan aset dengan lebih efisien dalam usaha meningkatkan tahap kesiagaan ATM agar berupaya membendung ancaman keselamatan seterusnya mempertahankan kedaulatan negara.

Komitmen Kerajaan dalam memastikan peruntukan pertahanan yang stabil akan memastikan ATM berada dalam tahap kesiagaan yang tinggi dan mempunyai keupayaaan yang sesuai bagi melaksanakan strategi Cegah Rintang Berpadu di ketiga-tiga lapisan kawasan strategik negara iaitu kawasan teras, lanjutan dan hadapan.

Kawasan teras adalah kawasan daratan di Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak; persisiran perairan serta ruang udara di atasnya.

Kawasan lanjutan adalah Zon Maritim Malaysia, laluan perairan strategik ruang udara di atasnya dan laluan hubungan komunikasi kritikal.

Manakala kawasan hadapan adalah lokasi melangkaui kawasan lanjutan di mana kepentingan negara boleh digugat.

Teras 2: Pengukuhan Kapasiti Pertahanan Yang Kompeten

Teras 2 ini menekankan kepada aspek tingkah laku dan kecekapan teknikal sebagai aspek penting dalam menghasilkan Warga Kerja Pertahanan (WKP) yang kompeten serta berupaya menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin.

WKP merangkumi Angkatan Tetap, Angkatan Sukarela, Veteran ATM dan kakitangan awam dalam pertahanan.

Objektif Teras 2 ini adalah untuk mempertingkatkan daya ketahanan dalaman negara melalui pertahanan yang komprehensif.

Tiga strategi yang digariskan bagi mencapai teras ini adalah mengkaji dan membangunkan dasar serta polisi yang memacu pengukuhan kompetensi semasa di samping usaha membangunkan kompetensi baharu, memperkasakan pengurusan sumber manusia yang dinamik, efisien dan efektif dan mempertingkatkan sinergi Warga Kerja Pertahanan (WKP).

Timbalan Panglima Tentera Laut mengetuai teras ini dalam membangunkan dasar dan polisi yang sesuai bagi pengukuhan kompetensi keseluruhan WKP.

Teras 3: Pelestarian Kesejahteraan Warga Kerja Pertahanan

Teras 3 adalah tunjang utama, aspirasi dan juga pemangkin untuk meningkatkan semangat juang serta kesanggupan berbakti dalam tugas yang dilaksanakan oleh Warga Kerja Pertahanan (WKP).

Objektif Teras 3 ini memberi fokus untuk memastikan penyediaan kemudahan dari aspek perumahan, kesihatan, pendidikan serta kebajikan sebagai usaha Kerajaan dalam menjamin kesejahteraan WKP.

Terdapat enam strategi yang digariskan bagi mencapai teras ini.

Pertama, meningkatkan kemudahan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) dan kediaman yang kondusif. Kedua, meningkatkan kemudahan kesihatan dengan mengukuhkan sumber manusia, infrastruktur kesihatan dan perkhidmatan kesihatan berkualiti. Ketiga, memperkasakan pendidikan. Keempat, menambahbaik kebajikan. Kelima, meningkatkan pengiktirafan seperti penganugerahan pingat dan lain-lain pengiktirafan. Strategi keenam adalah memperkukuhkan kerohanian dan jati diri dengan menambah baik pelaksanaan program Pendidikan Islam dan Fardhu Ain (PIFA) dan Pendidikan Moral dan Etika Tentera (PMET).

Timbalan Panglima Tentera Darat mengetuai teras ini dalam memastikan moral WKP sentiasa berada pada tahap tinggi.

Kejayaan teras ini akan melahirkan WKP yang mempunyai moral tinggi dengan kualiti hidup yang sejahtera dan seterusnya berupaya mendukung strategi pertahanan negara.

Teras 4: Pengukuhan Kerjasama Awam-Tentera (Civil-Military Cooperation–CIMIC) Demi Pertahanan Menyeluruh

Teras 4 memberi fokus untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan komuniti masyarakat berkaitan peranan dan tanggungjawab mereka dalam mempertahankan negara.

Objektif Teras 4 ini adalah untuk mempertingkatkan daya ketahanan dalam negara melalui Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) dengan menggunakan pendekatan keseluruhan kerajaan dan keseluruhan masyarakat.

Pada masa yang sama, elemen media juga memainkan peranan dalam menyebarluaskan fungsi ATM dan rakyat dalam memperkukuh pertahanan negara.

Strategi-strategi yang digariskan bagi mencapai Teras 4 adalah memperkukuhkan penglibatan Awam-Tentera dalam aspek pertahanan dan keselamatan, memasyarakatkan kerjasama Awam-Tentera ke arah pertahanan menyeluruh dan menyebarluaskan kesedaran awam melalui media dengan cara memperkukuh kerjasama strategik tentera dengan pihak media.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) mengetuai teras ini bagi mewujudkan dan memantapkan kolaborasi Awam-Tentera.

Kejayaan teras ini dapat mempertingkatkan kesedaran serta kepercayaan rakyat terhadap ATM selain mendorong kepada penglibatan mereka dalam keselamatan dan pertahanan negara.

Teras 5: Pembangunan Sains, Teknologi Dan Industri Pertahanan

Teras 5 menggariskan usaha pembangunan sains, teknologi dan industri pertahanan ke arah mengadaptasi Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) menerajui teras ini bagi membentuk industri pertahanan berdikari.

Objektif Teras 5 adalah menekankan bidang industri pertahanan sebagai pemangkin ekonomi melalui program-program yang progresif dalam memajukan bidang sains, teknologi serta industri pertahanan tempatan dan seterusnya menyokong prinsip pertahanan berdikari ATM.

Strategi-strategi Teras 5 adalah seperti berikut:

1. Menggubal Dasar Industri Pertahanan Dan Keselamatan Negara (DIPKN);
2. Pemerkasaan organisasi berkaitan industri pertahanan dengan cara menubuhkan Majlis Pembangunan Pertahanan Negara (MAPAN) dan menyediakan kertas bagi penstrukturan semula organisasi bahagian Industri Pertahanan;
3. Memperkasakan Penyelidikan Dan Pembangunan (R&D) Pertahanan ke arah industri pertahanan yang berdikari;
4. Meningkatkan keupayaan vendor tempatan dengan memperkasakan kerjasama dengan agensi kerajaan berkaitan dan membangunkan direktori produk pertahanan tempatan;
5. Proses perolehan yang menyokong pembangunan industri tempatan;
6. Pengurangan kebergantungan terhadap teknologi asing dan peningkatan kemampuan industri pertahanan tempatan/pengguna menerusi Program Kolaborasi Industri (ICP);
7. Mendukung keupayaan siber elektromagnetik;
8. Meningkatkan perkhidmatan sains dan teknologi bagi mendukung kesiapsiagaan pertahanan; dan
9. Meningkatkan kualiti produk industri pertahanan tempatan.

Teras 6: Pengukuhan Kerjasama Antarabangsa Dalam Menjamin Pertahanan Negara

Teras 6 menggariskan perancangan aktiviti-aktiviti diplomasi pertahanan dengan negara rakan kerjasama pertahanan bagi menyokong tonggak ketiga strategi pertahanan negara seperti yang dinyatakan di dalam Kertas Putih Pertahanan (KPP) iaitu Perkongsian Berwibawa.

Objektif Teras 6 adalah bagi memperkukuhkan kerjasama antarabangsa melalui jalinan hubungan di antara negara-negara kuasa besar, kuasa rantau dan negara-negara rakan kerjasama pertahanan.

Kestabilan serantau dapat dikekalkan melalui hubungan pertahanan dua hala dan pelbagai hala bagi menyumbang ke arah usaha keamanan sejagat.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) mengetuai teras ini yang memberi tumpuan kepada pengukuhan kerjasama antarabangsa dalam menjamin pertahanan negara.

Teras 7: Transformasi Kesejahteraan Veteran ATM

Teras 7 memberi penekanan terhadap penambahbaikan dan pemerkasaan aspek kehidupan Veteran ATM selain memastikan mereka melalui kehidupan yang terjamin serta selesa.

Kebajikan Veteran ATM dititikberatkan agar setimpal dengan jasa pengorbanan mereka terhadap negara.

Objektif Teras 7 adalah untuk mentransformasikan Veteran ATM dan tanggungan ke arah kehidupan yang lebih wajar dan selesa dengan menggunakan pendekatan Government to Government (G-to-G) dan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) khususnya dalam penyediaan keperluan asas meliputi pembinaan dan baik pulih rumah, perkhidmatan kesihatan, pendidikan, pengiktirafan dan lain-lain.

Empat strategi digariskan bagi mencapai teras ini:

1. Peningkatan Taraf Sosioekonomi melalui:
Kolaborasi strategik industri pekerjaan; Pengurusan kerjaya pasca perkhidmatan; Kemudahan Platform Digital for Business Opportunities–IR4.0; dan Program Outreach Veteran ATM.

2. Penambahbaikan Pengurusan Kemudahan Bantuan Kebajikan melalui:
Bantuan Sara Hidup; Bantuan persekolahan/kolej vokasional; Bantuan kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) terpilih sahaja; Bantuan bencana alam; Kuota khas pendidikan; Bantuan peralatan pesakit; Bantuan mengurus jenazah; dan Bantuan penjagaan Veteran ATM terlantar.

3. Peningkatan Kualiti Hidup dengan cara:
Kempen Tabung Pahlawan; Pembiayaan Persatuan Veteran ATM; Bantuan khas kewangan one-off; Perkhidmatan dan pengurusan kesihatan menyeluruh di bawah JHEV ATM; dan Perumahan Veteran ATM (Kerajaan dan swasta).

4. Pengiktirafan Jasa Pejuang Negara seperti:
Tokoh Veteran ATM; Kuota khas haji; Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia; Pemberian pre-elaun Pingat Jasa Malaysia; dan Elaun Kenangan Pingat Jasa Malaysia.

Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Tentera Veteran ATM (JHEV) mengetuai teras ini dalam memastikan kejayaan mentransformasikan kesejahteraan Veteran ATM.

Terdahulu, Samudera.my melaporkan mengenai inisiatif MINDEF dan ATM bagi membantu golongan veteran ATM mencakupi empat sektor iaitu kerjaya, pendidikan, kesihatan dan perumahan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: