Tempatan

Rakyat Malaysia Pandang Rendah Bahasa Melayu – Prof Datuk Dr Aripin Said

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

BERA, 16 Mac 2022 – Rakyat Malaysia yang memandang rendah pada kedudukan bahasa Melayu menjadi salah satu punca kegagalan usaha memartabatkan bahasa tersebut di negara ini, kata Profesor Datuk Dr Aripin Said.

“Lebih mendukacitakan, ada dalam kalangan rakyat mengagungkan bahasa Inggeris serta berkomunikasi dalam dwibahasa yang bercampur sekaligus menjejaskan kelestarian bahasa Melayu.”

Jika ingin menggunakan bahasa Inggeris, ia harus digunakan sepenuhnya tanpa mencampuradukkan dengan bahasa rasmi negara, ujarnya.

Selain itu, penutur yang ‘bercakap sedap mulut’ akan menghilangkan perbendaharaan kata yang merupakan tunjang keindahan bahasa Melayu serta menjejaskan martabat dan perkembangan bahasa tersebut.

Beliau turut menegaskan peranan penting pemimpin dan wakil rakyat yang seharusnya menggunakan bahasa Melayu standard ketika berkomunikasi kerana penggunaannya boleh mempengaruhi rakyat.

Tambah beliau seperti dilaporkan Utusan Malaysia, bahasa Melayu berpotensi menjadi bahasa ASEAN kerana mempunyai penutur paling ramai di Nusantara iaitu lebih 300 juta di seluruh dunia. Bilangan ini perlu dikembangkan supaya era kegemilangan ‘lingua franca’ bahasa Melayu semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka dapat dikembalikan.

Usaha ke arah itu sudah dirintis pejuang bahasa dan pemimpin terdahulu seperti Tun Sri Lanang, Pendeta Zaaba (Zainal Abidin Ahmad), Ishak Haji Mohamad (Pak Sako), Syed Nasir Syed Ismail dan juga Profesor Datuk Dr Nik Safiah Karim.

Menurut Aripin, jika melihat pada usaha agensi kerajaan Malaysia seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Kementerian Pendidikan, bahasa Melayu selayaknya menjadi bahasa ASEAN sejak 2020 lagi.

DBP telah menganjurkan Bulan Bahasa Kebangsaan yang bertumpukan kempen cintai bahasa Melayu sejak pasca merdeka. Tujuan utama program itu diadakan adalah untuk mendidik masyarakat berbilang bangsa mengaplikasikan penggunaan bahasa tersebut dalam pelbagai aspek dan bidang sebagai bahasa kelas dunia yang realistik dan praktikal.

“Sekiranya tiada kesungguhan untuk memartabatkan bahasa Melayu ada kemungkinan bahasa ini menjadi bahasa pasar dan bahasa pijin dan kreol yang dituturkan warga asing dan orang Melayu Sri Lanka dan Afrika Selatan,” katanya.

Beliau turut memberi contoh beberapa bahasa yang semakin pupus di Malaysia akibat ketiadaan pendukung seperti bahasa Sanskrit, bahasa etnik Orang Asli dan juga bahasa Tagalog Filipina. Sentimen pandang rendah pada bahasa sendiri merupakan salah satu punca tiadanya pendukung bahasa berkenaan.

Aripin berpendapat sudah tiba waktunya bahasa Melayu dimartabatkan selepas lebih 64 tahun sesuai dengan kedudukannya dalam Perlembagaan Negara yang disusuli slogan ‘Bahasa Jiwa Bangsa’.

Di samping itu, beliau turut memuji kesungguhan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam memartabatkan bahasa Melayu dalam urusan rasmi negara termasuk persidangan dan mesyuarat antarabangsa.

Terdahulu, Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong, ilmuwan terkenal negara berbangsa Cina selalu dipandang sinis oleh masyarakat berkenaan kerana perjuangannya dalam memartabatkan bahasa Melayu. Beliau turut menasihati masyarakat Melayu supaya tidak mempertikai kemampuan bahasa tersebut dalam mendidik anak bangsa dan memajukan negara.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: