Tempatan

Ramai Murid Bakal Tahun 1 Gagal Membaca – Dr Azizah Zain

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

TANJONG MALIM, 25 Februari 2022 – Ketua Jabatan Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Azizah Zain menyuarakan kebimbangannya terhadap penguasaan kemahiran 3M (Membaca, Menulis dan Mengira) yang lemah dalam kalangan murid prasekolah yang bakal menjejakkan kaki ke tahun satu bulan hadapan.

“Walaupun tiada data rasmi berhubung penguasaan 3M yang hanya boleh diketahui setelah sesi pembukaan sekolah nanti, pandemik COVID-19 menimbulkan keresahan ibu bapa sama ada anak-anak mampu membaca, menulis dan mengira dengan lebih baik setelah menghadapi kekangan belajar secara formal,” katanya.

Perkara ini juga menggusarkan para guru sekaligus mewujudkan jurang perbezaan antara murid yang mampu menguasai dan belum menguasai tiga kemahiran tersebut.

Ujar beliau, penutupan institusi pendidikan merupakan salah satu punca utama pencapaian kemahiran 3M berada di tahap yang rendah, di samping kurangnya sokongan dan bimbingan yang baik terutama yang melibatkan golongan B40.

Meskipun terdapat institusi prasekolah yang dibuka berperingkat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekatan penuh pergerakan tahun lalu, batas pembelajaran bersemuka menyebabkan kanak-kanak masih gagal menguasai 3M sepenuhnya.

Namun demikian, tanggungjawab mendidik kanak-kanak ini tidak 100 peratus terletak pada tangan seorang guru, sebaliknya ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam meningkatkan penguasaan 3M dalam kalangan mereka.

Kaedah efektif yang boleh dibuat para ibu bapa ialah mengajar menulis dan membaca buku untuk memperkukuhkan 3M kepada anak-anak.

Dr Azizah juga mencadangkan kepada Kementerian Pendidikan supaya mengembalikan semula Program Saringan Literasi dan Numerasi (LINUS) bagi mengatasi masalah tersebut serta mengelak keciciran dalam kalangan murid.

Menurut kajian Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada Mei 2021 di Kuala Lumpur, ramai murid prasekolah dari kalangan B40 atau diuruskan ibu tunggal tidak dapat menguasai kemahiran 3M dengan baik. Walau bagaimanapun, keadaan ini tidak berlaku di Malaysia sahaja malah kajian Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) mengesahkan ramai kanak-kanak dari seluruh dunia turut terjejas.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: