Kanak-Kanak Berisiko Menghidap Kencing Manis Apabila Positif COVID-19
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 18 Mac 2022 – “Secara kasarnya, rata-rata pakar pediatrik endokrinologi kanak-kanak dalam negara ini menyatakan kebimbangan mereka kerana didapati lebih ramai kanak-kanak didiagnosis sebagai penghidap diabetes (kencing manis) semasa pandemik COVID-19 berbanding sebelum pandemik,” kata Pakar Perunding Kanan Pediatrik Endokrinologi dan Diabetes Profesor Dr Muhammad Yazid Jalaludin.
Mengulas lanjut, Dr Muhammad Yazid yang juga Timbalan Dekan Ijazah Dasar, Fakulti Perubatan Universiti Malaya berkata, memang wujud kebimbangan tentang peningkatan diabetes Jenis 1 dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia walaupun kadarnya masih rendah berbanding negara-negara Scandinavia dan kawasan beriklim sederhana.
Walau bagaimanapun pakar belum dapat memastikan sama ada peningkatan tersebut disebabkan oleh COVID-19 kerana tidak semua pesakit diabetes diuji untuk jangkitan tersebut.
“Namun melihat pada trend semasa di luar negara, tidak mustahil boleh terjadinya peningkatan kes diabetes dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia,” ujarnya.
Terbaharu pada 7 Jan lepas, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) mengeluarkan hasil kajiannya dan mendapati berlaku peningkatan kes diabetes yang ketara dalam kalangan golongan berusia 18 tahun ke bawah.
Kajian tersebut turut melaporkan penemuan risiko diabetes dalam kumpulan yang pernah dijangkiti virus adalah 166 peratus lebih tinggi berbanding mereka yang tidak dijangkiti dan 116 peratus lebih tinggi berbanding kumpulan yang menghidap jangkitan virus respiratori akut prapandemik.
Pada tahun 2020, jurnal perubatan Diabetes Care juga melaporkan peningkatan diabetes Jenis 1 dalam kalangan kanak-kanak semasa penularan pandemik memuncak di United Kingdom.
Justeru, Dr Muhammad Yazid mencadangkan agar golongan berusia 18 tahun ke bawah yang pernah dijangkiti COVID-19 melakukan ujian kesihatan bagi mengesan diabetes dan penyakit lain yang berkemungkinan.