Tempatan

Bekalan Dadah Untuk 6.7 Juta Penagih Dirampas – Dato’ Ayob Khan

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PERAK, 18 Januari 2022 – Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Dato’ Ayob Khan bin Mydin Pitchay memaklumkan bahawa pihak Polis Diraja Malaysia PDRM telah merampas dadah jenis Ketamin seberat 2 tan yang mampu dibekalkan kepada sehingga 6.7 juta orang penagih.

Operasi yang berjaya merampas dadah dengan nilai RM111.2 juta tersebut tercetus susulan aduan daripada pemilik premis yang mengesyaki penyewa kilang beliau terlibat dengan aktiviti mencurigakan gara-gara keengganan penyewa tersebut melunaskan tunggakan bil elektrik.

Dato’ Ayob Khan memaklumkan bahawa modus operandi sindiket sebegini adalah dengan menyewa kilang-kilang yang terjejas oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk dijadikan makmal memproses dadah.

“Modus operandi digunakan sindiket ini yang dipercayai mula aktif sejak pertengahan tahun lalu ialah dengan cara menyewa premis di kawasan perindustrian untuk dijadikan makmal memproses dadah,” ujar beliau melalui sidang media di Ibu Pejabat Polis Perak tersebut.

Tiga individu tempatan telah ditahan dalam operasi terbabit manakala tiga lagi sedang diburu pihak polis.

Leave a Reply

Back to top button