Siap Sedia: Inflasi Makanan Bakal Melonjak
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
PETALING JAYA, 24 Jun 2022 – Inflasi makanan dijangkakan bakal melonjak berikutan keputusan pihak Kerajaan yang memansuhkan subsidi ayam, telur dan minyak masak botol sewaktu harga bekalan komoditi global sedang meningkat ketika ini.
Menurut MIDF Research, sekiranya inflasi makanan meningkat melebihi paras semasa tahun ini, tekanan inflasi keseluruhan diramalkan turut meningkat sehingga lebih 3.0 peratus.
Setakat empat bulan ini, kata MIDF dalam satu nota penyelidikan, harga makanan meningkat sebanyak 3.9 peratus tahun ke tahun.
“Inflasi makanan akan meningkat kepada 3.5 peratus pada 2022 dan sederhana kepada 2.9 peratus pada 2023, mencerminkan sedikit peningkatan dalam bekalan makanan domestik.”
“Sekiranya bekalan makanan domestik semakin teruk, inflasi utama mungkin menyentuh puncak baharu iaitu pada 5.8 peratus tahun ke tahun jika inflasi makanan melonjak sebanyak 7.0 peratus tahun ini dan 10 peratus pada 2023,” katanya dalam nota kajian.
Baru-baru ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Alexander Nanta Linggi mengumumkan bahawa subsidi minyak masak tulen berbotol dari dua ke lima kilogram tidak akan diteruskan bermula Julai ini.
Ia adalah bagi memastikan bekalan bahan makanan dalam pasaran akan lebih stabil dalam jangka masa yang panjang sekaligus menstabilkan harga barangan.
Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob turut mengumumkan sewaktu sidang media khas di Putrajaya semalam bahawa Kerajaan menghentikan penyaluran RM700 juta subsidi untuk menstabilkan harga ayam dan telur berikutan terdapatnya pihak yang mengambil kesempatan dengan terus menaikkan harga barang.
Kata Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), penarikan subsidi minyak masak serta penghapusan kawalan harga bagi ayam dan telur ayam tersebut mengundang keresahan orang ramai rentetan ekonomi rakyat yang masih terkesan akibat pandemik COVID-19.
“Yang pasti, harga makanan yang melambung tinggi dan kos pengangkutan yang mahal akan terus mendominasi inflasi Malaysia dalam beberapa bulan akan datang,” kata TA Securities, sebuah firma penyelidikan.