Terkini

Isu Adik Bella: Tiga Cadangan TMJ Bagi Memastikan Kes Tidak Berulang

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

JOHOR, 21 April 2022 – DYMM Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim baru-baru ini berkenan mengadakan satu pertemuan mengenai isu yang tular ketika ini iaitu kes adik Bella yang didera dengan sangat teruk oleh pengasuhnya.

Baginda berkenan bertemu dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Datuk Seri Rina Mohd Harun; Wakil UNICEF ke Malaysia, Amanda Bissex; dan Pengerusi Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, YB Puan Hajah Khairin-Nisa Ismail pada beberapa hari yang lalu.

Pertemuan tersebut adalah bagi membincangkan langkah penting yang perlu diambil bagi memastikan kes-kes seperti kes adik Bella tidak lagi berulang pada masa akan datang.

Baginda mencadangkan agar pihak yang berkaitan melaksanakan Pindaan Perundangan dengan segera bagi memastikan penambahbaikan terhadap undang-undang semasa seperti Akta Kanak-Kanak 2001 dapat dicapai.

“Ia harus merangkumi aspek pendaftaran pusat jagaan kanak-kanak, akreditasi, penilaian, pembiayaan dan pemantauan, untuk memastikan semua pengendali beroperasi secara sah dengan cara pelaksanaan khidmat awam.”

Selain itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu mengaudit semua pusat jagaan kanak-kanak sedia ada yang telah diluluskan dan segera menutup mana-mana pusat jagaan kanak-kanak yang tidak berdaftar dengan JKM atau beroperasi secara haram bermula di Johor secara serta-merta.

“Tindakan undang-undang harus diambil terhadap pengusaha atau pemilik mana-mana pertubuhan yang dijalankan secara haram,” titah baginda.

Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim meminta kajian mengenai syarat pusat jagaan kanak-kanak bermula di Johor ditauliahkan bersama-sama dengan garis panduan daripada UNICEF dan institusi-institusi bebas lain dilakukan dengan segera.

“Saya akan memastikan cadangan penambahbaikan ini diambil serius dan dilaksanakan dengan segera.”

“Saya ingin menegaskan bahawa kebajikan kanak-kanak, terutamanya yang berada di rumah perlindungan hendaklah sentiasa dilindungi dan dijaga dengan baik,” tegas baginda sekaligus menutup kenyataan yang dibuat melalui laman Facebook milik baginda.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: