Tempatan

Graduan Pendidikan Menganggur Tuntut Hak Mereka

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PUTRAJAYA, 10 Mac 2022 – Graduan Ikhtisas Pendidikan (GIP) menuntut ketelusan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkenaan pengambilan khas guru secara ‘one-off’ seperti yang diumumkan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin pada Jun tahun lalu.

Seramai 13 wakil GIP hadir ketika penyerahan memorandum kepada KPM bagi memohon penjelasan mengenai isu tersebut yang sudah sekian lama disuarakan.

Menurut Siti Khadijah Mohd Lutfi, jurucakap GIP, memorandum itu menuntut tiga perkara iaitu isu calon yang digagalkan kerana dokumen tidak lengkap, isu 1,000 calon Pendidikan Awal Kanak-Kanak yang hadir temuduga namun 12 calon sahaja diluluskan, serta keutamaan calon GIP dalam mengisi jawatan.

Ramai graduan pendidikan masih menunggu panggilan temuduga sehinggakan ada di antara mereka terpaksa melakukan kerja di luar bidang bagi menampung perbelanjaan seharian, katanya.

Tambah beliau, GIP melihat wujudnya ketidakadilan dari Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) yang dipertanggungjawabkan melantik guru-guru tersebut, bahkan badan terbabit pernah mengakui kecuaian mereka semasa pelantikan dengan memberi alasan terlepas pandang, masalah sistem dan teknikal.

Beliau turut menyarankan KPM untuk tidak membuat pelantikan kepada calon yang tidak mempunyai kontrak perkhidmatan (COS) ikhtisas pendidikan serta berharap agar KPM dapat meneliti isu ini sekaligus membawa perubahan ke arah sistem pelantikan yang lebih telus.

Sebuah halaman Facebook, Gerakan Graduan Pendidikan Universiti Awam (GGPUA) meluahkan menerusi hantaran Facebook mereka mengenai isu graduan ikhtisas pendidikan yang kurang mendapat perhatian pihak KPM seperti guru-guru interim.

“Alangkah indah sekiranya perhatian yang sama turut diberikan kepada graduan ikhtisas pendidikan bagi mengisi kelompangan 18,702 guru di seluruh Malaysia.”

“Jika merujuk kepada keperluan guru di sekolah yang sangat mendesak, pihak kerajaan perlu mempertimbang untuk menyerap masuk semua graduan ini. 18 ribu kekosongan, 16 ribu permohonan diterima. Ikhtisas keguruan sudah ada, sudah pasti boleh menjalankan tanggungjawab sebagai guru di sekolah,” luah mereka.

Hantaran itu merupakan respon terhadap kenyataan media yang dikeluarkan KPM kelmarin mengenai urusan lantikan tetap pegawai perkhidmatan guru interim Bahasa Inggeris yang bakal tamat kontrak April ini.

Mereka berharap agar pihak KPM dapat memberi sepenuh perhatian kepada keluhan graduan pendidikan yang tidak berjaya dalam pengambilan khas guru ‘one-off’ yang membabitkan jumlah angka yang besar.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: