Kesatuan Guru Desak Kaji Semula Syarat Kemasukan Dari Sekolah Cina, Tamil
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
SIBU, 04 Mac 2022 – Kementerian Pendidikan (KPM) digesa untuk menyemak semula keputusan mewajibkan murid Darjah 6 sekolah rendah Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) mencapai Tahap Penguasaan (TP) 4 hingga TP6 bagi mata pelajaran Bahasa Melayu untuk memasuki Tingkatan 1.
Pada awal Februari, KPM telah mengeluarkan satu notis rasmi menyatakan bahawa murid dari SJKC dan SJKT yang mencapai TP1 hingga TP3 dalam pentaksiran itu perlu dinilai selanjutnya dalam Ujian Pengesanan Literasi Bahasa Melayu (UPLBM).
Menurut notis itu, murid yang gagal dalam UPLBM akan diletakkan di kelas peralihan.
Perkara ini telah mendapat perhatian Kesatuan Guru Sarawak (STU) melalui presidennya, Adam Prakash Abdullah yang memohon ada penyelesaian yang lebih mudah untuk murid-murid tersebut.
Beliau dalam satu kenyataan baru-baru ini berpendapat, ramai ibu bapa akan mempersoalkan perkara ini kerana melihat anak mereka seolah-olah diletakkan ‘tanda’ untuk kelayakan memasuki Tingkatan 1.
Tambahnya lagi, dalam keadaan pandemik COVID-19, segelintir murid sukar mendapatkan akses dan kemudahan pembelajaran, maka keputusan KPM ini akan mengeruhkan lagi keadaan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan faktor umur boleh menjadi sangat berbahaya jika murid berterusan gagal dalam ujian tersebut dan dihalang daripada memasuki Tingkatan 1.
Sehubungan itu, beliau yakin pelan tindakan khusus perlu ada bertujuan untuk meningkatkan taraf BM sebagai bahasa kebangsaan, dalam kalangan murid di SJKC dan SJKT.
“Mungkin, apa yang lebih baik adalah membenarkan saja murid-murid ini memasuki Tingkatan 1, tetapi dalam proses itu, sekolah (yang mereka hadiri) harus membantu mereka meningkatkan Bahasa Melayu mereka semasa mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah.” cadang beliau.
Difahamkan, UPLBM telah pun dijalankan di semua SJKC dan sekolah Tamil pada 14 Feb lepas.