Tempatan

Kes Pedofilia Lampiaskan Nafsu Pada Budak Meningkat Sejak PKP

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

AHAD, 13 Mac 2022 – Menurut laporan berita yang dikeluarkan oleh portal Harian Metro, kes gangguan seksual terhadap kanak-kanak didapati meningkat dengan mendadak sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) COVID-19 dengan rekod 1,065 kes.

Golongan penjenayah pedofilia ini meningkat setiap tahun dan ia terbukti apabila polis Bukit Aman merekodkan 2,436 kes jenayah fizikal dan bukan fizikal dilakukan terhadap kanak-kanak sejak tiga tahun lalu.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyedari media sosial boleh menjadi ‘lubuk’ untuk golongan pedofilia melampiaskan ketagihan seksual mereka terhadap kanak-kanak.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Strategik JKM, Rosmahwati Ishak, perkara ini boleh berlaku apabila wujud pendedahan teknologi dan internet yang tidak terkawal kepada kanak-kanak.

“Impak internet serta media sosial dalam eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak oleh pedofilia amat meluas sehingga merangkumi ramai mangsa pada satu-satu masa melalui aktiviti pengantunan secara maya atau cyber grooming,” ujar beliau.

Pedofilia bukan sahaja boleh mencari kanak-kanak untuk eksploitasi seks melalui media sosial, malah mengenali sasaran mereka melalui Facebook (FB), Instagram dan Twitter atau aplikasi sembang, WhatsApp dan WeChat.

Rosmahwati Ishak turut memaklumkan bahawa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan membentuk Jawatankuasa Bersepadu Pengurusan Isu-Isu Sosial Kanak-Kanak di Media Sosial, selaras Akta Kanak-Kanak 2001 dan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC).

Ia antara inisiatif bagi menggembleng tenaga pakar daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik dan aktivis masyarakat dalam memastikan keselamatan kanak-kanak di media sosial terpelihara.

Berdasarkan kenyataan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Bukit Aman Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius isu kewujudan golongan pedofilia di negara ini berdasarkan perkongsian maklumat dari luar negara dan kes dilaporkan serta tangkapan yang semakin meningkat.

“Berdasarkan statistik, kes gangguan seksual fizikal (amang seksual fizikal) pada kanak-kanak sepanjang tahun 2020 adalah sebanyak 993 kes iaitu meningkat berbanding 732 kes pada 2019 dan 591 kes (2018).”

“Manakala kes gangguan seksual bukan fizikal (amang seksual bukan fizikal) meningkat kepada 51 kes tahun 2020 berbanding 13 kes pada 2019 dan 18 kes pada 2018,” jelas beliau mengenai isu ini.

Tambahan dari itu, beliau turut memaklumakan bahawa kes pengantunan kanak-kanak (Seksyen 12) pula meningkat kepada 13 kes sepanjang tahun lalu iaitu meningkat berbanding sembilan kes (2019) dan tiga kes (2018).

Kes pengantunan kanak-kanak membawa maksud individu dewasa berkomunikasi bersama kanak-kanak dengan niat untuk melakukan atau memudahkan pelakuan seksual dan ia boleh dijatuhkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan sebatan.

Berikutan daripada kes ini, pelakon berdarah campuran Melayu-Amerika Latin, Josiah Hogan sama seperti ibu bapa lain berasa bertanggungjawab menjaga keselamatan permata hati yang sedang membesar.

“Bukan paranoid, sebaliknya lebih berwaspada memandangkan dalam laman maya, kita terdedah kepada sebarang kemungkinan, terutama isu web pedofilia yang mencari kanak-kanak sebagai mangsa.”

“Saya tak mahu gambar mereka ‘dicuri’ individu sedemikian untuk diletakkan dalam laman web yang tidak sepatutnya seperti dialami seorang teman artis tidak lama dahulu.”

“Lebih baik berhati-hati demi anak-anak,” ujar beliau.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: