Iktiraf UEC Bukan Keutamaan KPM
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
PUTRAJAYA, 16 Disember 2022 – Usaha mengiktiraf Unified Examination Certificate (UEC) tidak menjadi satu keutamaan buat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada ketika ini.
Menteri Pendidikan Malaysia, Fadhlina Sidek memaklumkan, apa sahaja isu yang berkait rapat termasuklah UEC yang dibangkit sekarang akan diperhati dari semasa ke semasa.
“Apa-apa berkait dengan manifesto juga kita akan lihat semula kerana sekarang kita berada dalam Kerajaan Perpaduan, kita tidak lagi bercakap mengenai manisfesto Pakatan Harapan (PH) semata-mata,” katanya.
Beliau mengatakan bahawa, KPM buat masa ini akan memberi perhatian kepada isu yang lebih utama iaitu usaha dalam menangani cabaran ekonomi serta kos sara hidup dihadapi rakyat.
Baru-baru ini, media melaporkan tindakan Persatuan Pengarah Sekolah Cina di Malaysia (Dong Zong) yang ingin bertemu Menteri Pendidikan baharu untuk memberi cadangan supaya UEC atau Sijil Peperiksaan Bersama Sekolah Menengah Cina bebas diiktiraf.
Samudera.my sebelum ini melaporkan kenyataan Dong Zong yang membangkitkan gesaan yang pernah dibuat ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH), dua tahun lalu supaya UEC diiktiraf.