Seorang Wanita Brazil Dirogol Setiap 10 Minit
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
BRASILIA, 11 Mac 2022 – Seorang wanita dirogol selang 10 minit di Brazil, lapor Forum Keselamatan Awam Brazil.
Ini menjadikan jumlah kes jenayah rogol di Brazil meningkat 3.7 peratus pada 2021 kepada 56,098 kes pada tahun lalu.
Selain itu, negara tersebut turut mencatatkan kes pembunuhan wanita yang berlaku selang tujuh jam, kata Pengarah Forum Keselamatan Awam Brazil, Samira Bueno.
Beliau memaklumkan, walaupun kes pembunuhan wanita menurun 2.7 peratus tetapi dengan jumlah keseluruhan 1,319 kes pada tahun lalu, angka itu masih menakutkan.
“Walaupun terdapat penurunan dalam kes pembunuhan wanita, jumlahnya masih sangat tinggi.”
Menurut laporan tersebut juga, berlaku peningkatan mendadak kes pembunuhan wanita dari Februari hingga Mei 2020 ketika kerajaan melaksanakan lockdown bagi memerangi pandemik Covid-19 di negara Amerika Selatan itu.
Kajian itu dibuat berdasarkan laporan rasmi yang diterima oleh pihak polis sekaligus menandakan bahawa bilangan kes sebenar adalah jauh lebih tinggi.
Justeru, angka-angka membimbangkan yang diterbitkan pada malam menjelang sambutan Hari Wanita Antarabangsa baru-baru ini itu menunjukkan bahawa terdapat keperluan mendesak untuk melaksanakan dasar awam bagi melindungi mangsa di samping mencegah dan menangani keganasan terhadap gadis serta wanita di Brazil.