Rusia Pilih Peperangan, Penderitaan dan Kematian – Presiden AS
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
AMERIKA SYARIKAT, 25 Februari 2022 – Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden, menyelar serangan yang dilakukan tentera Rusia ke atas Ukraine baru-baru ini. Beliau menegaskan bahawa Putin telah memilih jalan peperangan yang akan membawa kemusnahan.
“Presiden Putin telah memilih peperangan terancang yang akan membawa kemusnahan, kematian yang banyak dan penderitaan terhadap nyawa manusia.”
“Rusia akan dipertanggungjawabkan atas kematian dan kemusnahan dari serangan ini,” tegasnya dalam sebuah kenyataan rasmi White House.
Biden turut menegaskan bahawa AS dan sekutunya tidak akan berdiam diri, dan akan memberikan respon balas secara kolektif.
“AS dan sekutu akan memberikan respon balas yang bersatu dan tegas,” tambahnya lagi.
Dalam masa yang sama, Presiden Rusia, Vladimir Putin memberikan ancaman “akibat buruk yang tidak pernah dilihat sebelum ini” ke atas mana-mana pihak yang masuk campur dalam konflik tersebut.
“Sesiapa sahaja yang cuba untuk masuk campur, dan lebih-lebih lagi mengancam negara kami…Tindak balas dari Rusia adalah pantas dan akan membawa kepada kesan yang belum pernah dilihat sejarah,” tegas Putin dalam sebuah sidang media.
Al Jazeera melaporkan bahawa Rusia telah memulakan serangan ke atas Ukraine. Ia disifatkan sebagai sebuah serangan terbesar antara negara-negara Eropah semenjak Perang Dunia Kedua.