Politik

Pelbagai Kemungkinan Boleh Berlaku seperti PH Kembali Berkuasa – Dr Khairil Azmin Mokhtar

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 18 Ogos 2021 – “Dalam situasi hari ini, kita perlu pastikan ada kerajaan yang sah terbentuk. Jadi sekarang usahanya adalah dapatkan kerajaan yang mempunyai majoriti di Dewan Rakyat,” kata Pakar Undang-undang dan Perlembagaan UIAM, Prof Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar.

Jelasnya, jika usaha itu masih lagi tidak berhasil maka mungkin ada pilihan lain contohnya boleh dibentuk kerajaan minoriti dan sebagainya.

“Ia masih lagi boleh berlaku, termasuklah by partisan government, kerajaan perpaduan dan itu semua bergantung kepada hasil perbincangan dan kesepakatan sesama pemimpin parti politik.”

“Kerajaan minoriti juga boleh berlaku, di mana walaupun parti itu bukan majoriti tetapi mungkin ada kesefahaman, MoU mungkin boleh dibuat dengan parti pembangkang misalnya dan mungkin parti pembangkang itu akan menyokong kerajaan tetapi pada masa yang sama dia tidak akan menyokong kerajaan dalam hal-hal tertentu.”

Namun, menurut beliau, pelbagai kemungkinan boleh berlaku contohnya seperti kerajaan Pakatan Harapan (PH) kembali berkuasa tetapi dalam komposisi Kabinet yang berlainan ataupun kerajaan Perikatan Nasional (PN) kembali berkuasa jika berjaya meraih semula majoriti.

“Jadi kebarangkalian itu banyak dan perkara ini semua boleh berlaku. Sebab itu YDPA memberi masa kepada semua pemimpin untuk digunakan dalam masa yang terdekat ini.”

Kata Dr Khairil Azmin, di sinilah peranan, prerogatif dan kuasa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) berfungsi melantik Perdana Menteri (PM) selain memastikan orang yang dilantik itu pada hemat Baginda adalah orang yang mempunyai majoriti dalam Dewan Rakyat.

“Sementara YDPA memutuskan keputusan, maka diberi ruang dan masa untuk para pemimpin berbincang sesama mereka bagi menentukan siapa yang menyokong siapa. Jadi melantik dan memilih itu adalah prerogatif Agong.”

“Mungkin kali ini agak berbeza tetapi kita kena tunggulah bagaimana YDPA akan membuat keputusan.”

Mengulas lanjut mengenai Perdana Menteri Caretaker, Dr Khairil Azmin menjelaskan, disebabkan PM sudah meletakkan jawatan tetapi perlu juga orang menasihati Agong dalam pentadbiran negara, maka, di bawah Perkara 43, Baginda Tuanku melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Caretaker.

“Tujuan YDPA melantik PM Caretaker adalah untuk memberi ruang kepada para pemimpin menentukan siapa yang boleh mendapatkan majoriti.”

“Jadi fungsi PM Caretaker ini adalah untuk memastikan perjalanan pentadbiran negara dapat diteruskan dengan lancar.”

Mengenai jawatan Perdana Menteri pula, Dr Khairil Azmin menjelaskan, Perdana Menteri akan dilantik apabila seseorang calon itu mendapat sokongan majoriti.

Tetapi kalau calon itu tidak mendapat sokongan, maka tidak adalah yang layak dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Masalahnya, kalau pun dilantik tetapi tidak mempunyai sokongan majoriti maka apabila timbul masalah seperti yang dihadapi oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, di mana kalau dibuat undi tidak percaya maka dia terpaksa letak jawatan kerana tidak mendapat sokongan majoriti.”

Jelas beliau, perkara ini adalah satu cara untuk memastikan kerajaan yang ditubuhkan stabil kerana di dalam sistem demokrasi berparlimen, kerajaan itu boleh bertukar walaupun tanpa pilihan raya.

“Kebiasaannya apabila pilihan raya, baru kita tentukan kerajaan tetapi sebenarnya dalam sistem demokrasi walaupun tanpa pilihan raya, kerajaan boleh bertukar.”

“Contohnya seperti yang berlaku baru-baru ini walaupun tanpa pilihan raya tapi kerajaan bertukar daripada Pakatan Harapan (PH) kepada Perikatan Nasional (PN) apabila Tun Mahathir meletak jawatan.”

“Jadi pertukaran kerajaan tanpa pilihan raya itu disebabkan berubahnya sokongan ahli di Dewan Rakyat. Maka, kesan apabila terdapat ahli Dewan Rakyat yang melompat, parti kerajaan yang stabil pun akan berubah menjadi tidak stabil dan keadaan ini akan berterusan sehingga menggangu pentadbiran negara yang akan turut berubah-ubah.”

“Sebab itu ramai yang mahukan udang-undang anti lompat parti, supaya bila kita dapat kerajaan maka kerajaan itu akan berterusan memerintah sehinggalah pilihan raya yang akan datang. Maka tidak adalah orang yang akan lompat melompat lagi,” katanya.

Menurut beliau, precedent situasi sebegini bukan sahaja pernah berlaku di peringkat pusat dalam negara, bahkan lebih banyak situasi begini dapat dilihat di peringkat negeri termasuklah di Kelantan, Sabah dan di Johor serta beberapa lagi di negeri lain.

“Misalnya, perubahan demi perubahan pada lanskap politik berlaku sekelip mata, semua ini disebabkan lompat parti dan perkara ini adalah amat tidak sihat.”

Beliau berpandangan, yang paling baik adalah kestabilan politik itu dapat dicapai di mana majoriti kukuh dapat dibuat supaya kerajaan itu dapat memerintah tanpa perlu terlalu banyak memikirkan masalah ataupun isu politik.

“Kita kalau boleh hendak tumpukan 100% masalah yang dihadapi negara dari segi ekonominya, dan terkini masalah kesihatan yang kian meruncing tetapi disebabkan masalah politik ini maka tempat itu tidak dapat diberikan kepada perkara-perkara yang lebih penting.”

Dr Khairil berkata, isu politik ini amat perlu diselesaikan dengan segera.

“Tetapi dalam keadaan sekarang ini, nampak gayanya kemelut ini belum selesai lagi.”

Menurut beliau lagi, sepatutnya ahli-ahli politik ini boleh berfikir dengan lebih jelas dan waras dengan meletakkan kepentingan ummah di hadapan.

Jika perpecahan berlaku terutamanya sesama umat Islam maka yang rugi adalah orang-orang Islam sendiri.

“Jadi sepatutnya pemimpin yang beragama Islam ini bersatu dan meletakkan kepentingan agama dan umat Islam di hadapan daripada kepentingan sendiri, selain bertindak dengan matang dan kalau itu yang berlaku maka saya rasa selesai masalah kemelut politik negara ini.”

“Dan kita amat berharap akan mendapat persefahamaan antara ahli politik di mana mereka tidak akan merugikan agama kita, bangsa kita dan negara kita,” ujar beliau mengakhiri wawancara.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: