GEMPAR! PM Palestin Letak Jawatan Di Tengah Konflik Keganasan Gaza
RAMALLAH, 27 Februari 2024 – Perdana Menteri Pihak Berkuasa Palestin, Mohammad Shtayyeh secara rasmi menyerahkan peletakan jawatan kerajaannya kepada Presiden Mahmoud Abbas semalam.
“Saya menyerahkan peletakan jawatan kerajaan kepada Presiden Mahmoud Abbas pada 20 Februari 2024, dan hari ini saya mengemukakannya secara bertulis,” ujar beliau.
Menurutnya, keputusan tersebut diambil berdasarkan perkembangan politik, keselamatan, dan ekonomi berkaitan dengan pencerobohan terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza serta peningkatan keganasan yang belum pernah terjadi di Tebing Barat, termasuk Kota Baitulmaqdis.
Tegas Mohammad Shtayyeh, kerajaannya telah bekerja dalam keadaan rumit dan menghadapi pelbagai cabaran, bermula dengan pelanunan Israel terhadap wang Palestin, ‘Deal of the Century’ yang ingin menamatkan perjuangan Palestin, diikuti pandemik COVID-19 dan perang Ukraine, serta pada masa ini pembunuhan beramai-ramai dilakukan entiti haram Israel terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza dan peningkatan pencerobohan di Baitulmaqdis, Tebing Barat dan semua bahagian wilayah Palestin.
Sehubungan itu, Presiden Mahmoud Abbas telah menerima notis peletakan jawatan kerajaan Mohammad Shtayyeh sekali gus memintanya berkhidmat sebagai penjaga sehingga kerajaan baharu dibentuk.