Tempatan

Nafi Negeri Kuatkuasa Islam Bersamaan Nafi Hak Umat Islam – Prof Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar

KUALA LUMPUR – “Apabila kita menafikan kerajaan negeri untuk menguatkuasakan undang-undang Islam ataupun jenayah syariah Islam, itu bermakna juga kita menafikan hak orang Islam untuk mengikuti ajaran agama mereka,” ujar Prof Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar, dalam sesi siaran langsung ‘Forum: Membunuh Perundangan Islam?’ anjuran Ilmuwan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ISLAMI).

Ini kerana sebelum merdeka, negeri mengikut ajaran agama Islam.

“Kerana pada asalnya, negeri ini sebenarnya mengikut ajaran agama Islam tetapi selepas merdeka, disebabkan perubahan sistem politik dan pentadbiran, maka terhad,” kata beliau lagi.

“Di sini pada masa yang sama kita perlu iktiraf pengorbanan orang Islam. Jika negara ini semuanya orang Melayu dan Islam, maka tak ada masalah kita nak ikut undang-undang Islam. Tetapi apabila kita mengamalkan sistem demokrasi, maka kita terima juga hak-hak orang yang bukan Islam.”

Tambah pensyarah Undang-Undang Ahmad Ibrahim Kulliyyah of Laws (AIKOL) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu, punca kuasa sebelum Persekutuan dibentuk adalah daripada negeri.

“Jika kerajaan negeri tidak bergabung untuk membentuk persekutuan, maka kerajaan pusat tidak wujud. Jadi bila persekutuan dibentuk, negeri memberi kuasa pada kerajaan yang baru wujud iaitu kerajaan pusat.”

“Apabila kita lihat pada Perkara-Perkara 77 Perlembagaan Malaysia, jadi residual power kuasa bagi itu dengan kerajaan negeri. Maksudnya, jika tidak ada butiran dalam Senarai I, Senarai II, Senarai III, otomatik pergi kepada kerajaan negeri. Maksudnya by default, the State has power. Kenapa? Kerana sebab negeri wujud sebelum Persekutuan wujud. Jadi, punca kuasa sebelum Persekutuan dibentuk adalah daripada negeri.”

Tegas beliau lagi, para Sultan juga telah berkorban kuasa dan mengurangkan kuasa dengan membentuk Persekutuan dan membentuk kerajaan demokrasi.

Oleh itu, masyarakat perlu menghormati hak kuasa negeri, kuasa Raja dan hak orang Islam untuk mengamalkan ajaran agama Islam.

“Jadi oleh itu, mengapakah perlu kita berlaku begitu skeptikal dan begitu negatif sekali terhadap undang-undang jenayah Syariah? Sebab ia hanya berkaitan dengan orang Islam. Jadi orang Islam nak mengawal masyarakat Islam mengikut nilai-nilai moral dan ajaran mereka, maka dibuatlah undang-undang Jenayah Islam dan juga undang-undang Personal Law. Jadi perlulah dihormati kuasa negeri, kuasa Raja dan hak orang Islam untuk mengamalkan agama mereka kerana perlu dihormati.”

Sesi siaran langsung ‘Forum: Membunuh Perundangan Islam?’ anjuran Ilmuwan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ISLAMI) disiarkan dalam Facebook ISLAMI pada 27 Februari 2021.

Dikemudikan oleh Mafis Mohd Samuri, Exco ISLAMI Kebangsaan, barisan panelis yang hadir selain Prof Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar adalah Prof Dato’ Mahamad Naser Disa, seorang pensyarah Undang-Undang Perlembagaan UniSZA.

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button