Politik

Kemelut Politik: Tindakan Agong Telus & Inklusif – Dr Khairil Azmin Mokhtar

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 20 Ogos 2021 – Perjalanan politik Malaysia hari ini dan tindakan Yang di-Pertuan Agong menunjukkan bahawa Baginda adalah telus dan bersifat inklusif, kata Prof Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar.

“Kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dalam mengamalkan konsep musyawarah di mana bukan sahaja Baginda berjumpa dengan semua ketua-ketua parti seperti yang dibuat sekarang ini tetapi termasuklah bermusyawarah dengan Ahli Majlis Raja-Raja bagi menyelesaikan kemelut politik tanah air dianggap sebagai tepat, terbuka serta bersifat insklusif.”

Ujarnya lagi, kenyataan Istana Negara meminta semua Ahli Dewan Rakyat menyatakan secara bertulis kepada YDPA mengenai siapa yang disokong mereka sebagai Perdana Menteri Ke-9 adalah bertujuan untuk membantu Baginda membuat keputusan berdasarkan Perkara 40(2A) dan Perkara 43.

“Walaupun hak budi bicara itu ada pada YDPA, tetapi yang terutama sekali Baginda mahu supaya perkara ini betul-betul selari dengan bukan sahaja the word letter of Constitution tetapi juga roh Perlembagaan itu sendiri.”

Pada masa yang sama, YDPA ada nyatakan di dalam surat Baginda meminta orang yang dilantik ataupun kerajaan yang akan dibentuk nanti untuk membentangkan usul undi percaya di Parlimen apabila Parlimen bersidang.

“Ada juga yang mempersoalkan sama ada pelantikan yang dibuat itu sah selepas dibuat usul di Parlimen ataupun sebelum itu lagi. Kalau kita ikut pada peruntukan Perlembagaan itu, memang kuasa melantik terletak hak pada YDPA. Dan berdasarkan pada hemat Baginda siapa yang mendapat paling ramai sokongan Ahli Dewan Rakyat adalah layak dilantik menjadi PM.”

“Jadi di situ memang kuasa YDPA, cuma cara YDPA nak tentukan itu nampaknya sekarang berdasarkan akuan bersumpah.”

Jelasnya lagi, jika perlantikan itu dibuat sebelum Parlimen bersidang, menteri yang dilantik dan kabinet kerajaan yang dibentuk itu sah dari segi Perlembagaan.

“Jadi titah Baginda itu bukanlah maksudnya kena lulus usul dahulu baru sah tetapi keberadaan usul undi percaya di Parlimen itu bertujuan menunjukkan ketelusan bahawa orang yang dilantik oleh YDPA itu memang mendapat sokongan majoriti.”

Ditanya bolehkah jika calon PM itu mendapat sokongan majoriti tetapi YDPA tidak berkenan, Dr Khairil Azmin berkata, seperti yang dijelaskan, pada hemat YDPA memang boleh melantik Perdana Menteri tetapi kalau kita baca dalam Peruntukkan 40 dan 43, syarat pertama mesti Ahli Dewan Rakyat, kedua mendapat sokongan majoriti dan ada satu lagi syarat iaitu dia mestilah warganegara yang mendapat kewarganegaraan secara automatik.

“Itu juga antara syarat-syarat yang perlu ada pada Perdana Menteri. Masalahnya sekarang ialah jika YDPA melantik orang yang menjadi pilihan Baginda tetapi tidak mendapat majoriti sudah pasti dia tidak dapat menjalankan tugasnya selaku PM seperti yang Tan Sri Muhyiddin hadapi.”

“Jadi sebab itu usul undi percaya itu penting dan disebabkan itulah YDPA meminta supaya apabila Parlimen bersidang nanti, kerajaan atau PM akan bentangkan usul untuk menunjukkan bahawa pilihan Baginda itu tepat.”

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button