Tempatan

6 Titah Agong Kepada Ketua & Wakil Parti Politik Malaysia

KUALA LUMPUR, 18 Ogos 2021 – Adalah dimaklumkan bahawa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah berkenan menerima menghadap ketua-ketua dan wakil parti-parti politik utama di Istana Negara, semalam (17 Ogos, 2021).

Dengan titah Seri Paduka Baginda, DYMM Paduka Seri Sultan Perak telah disembah silakan turut berangkat hadir semasa sesi menghadap tersebut atas kapasiti Baginda sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Seri Paduka Baginda telah menzahirkan bahawa Baginda dan Paduka Seri Sultan Perak telah berkenan untuk menganjurkan sesi menghadap semalam bagi menyatakan pendirian untuk pembentukan kerajaan yang stabil dengan secepat mungkin berikutan peletakan jawatan Perdana Menteri dan seluruh jawatan Jemaah Menteri yang telah berkuat kuasa pada 16 Ogos, 2021.

Menurut kenyataan Istana Negara dalam sesi tersebut, Seri Paduka Baginda menzahirkan tujuan utama sesi menghadap itu adalah untuk menyatakan bahawa:

1. Sesiapapun juga yang dilantik menerajui kepimpinan Kerajaan Persekutuan hendaklah dipilih mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

2. Rakyat tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan dan pada masa yang sama negara bergelut dengan isu kesihatan dan ekonomi akibat pandemik COVID-19.

3. Kesepakatan dan kejujuran Ahli-Ahli Dewan Rakyat sangat perlu bagi memastikan kemaslahatan dan keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

4. Ahli-Ahli Dewan Rakyat perlu mempamerkan solidariti dengan meneruskan ikhtiar, memberikan komitmen yang tinggi dan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

5. Majoriti ‘frontliners’ berada dalam keletihan kerana berhadapan ribuan pesakit COVID-19 baharu setiap hari. Bahkan, fasiliti-fasiliti kesihatan negara juga berada pada situasi yang membimbangkan.

6. Perancangan di bawah dasar sedia ada seperti pelaksanaan projek pembangunan, program menangani pandemik COVID-19, termasuk program vaksinasi untuk mencapai imuniti kelompok dan program pemulihan negara perlu dikekalkan.

Tambah kenyataan itu lagi, Seri Paduka Baginda selanjutnya bertitah supaya semua 220 ahli Dewan Rakyat untuk mempersembahkan kepada Baginda surat akuan (statutory declaration) yang menyatakan seorang ahli Dewan Rakyat yang diberikan kepercayaan oleh ahli Dewan Rakyat tersebut untuk menjadi Perdana Menteri yang baharu.

“Kesemua ahli Dewan Rakyat hendaklah mengemukakan surat akuan masing-masing kepada pihak Istana Negara pada hari ini, 18 Ogos 2021 sebelum jam 4.00 petang.”

“Surat akuan tersebut adalah bertujuan untuk membantu Seri Paduka Baginda membuat keputusan bagi melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.”

Di samping itu, Seri Paduka Baginda turut bertitah bahawa Perdana Menteri yang telah dilantik oleh Baginda menurut Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan hendaklah secepat mungkin mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkan beliau mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

“Baginda selanjutnya bertitah bahawa selaku Ketua Utama Negara, Baginda akan cuba sedaya upaya untuk menyempurnakan tanggungjawab seorang Raja Berperlembagaan berteraskan keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang.”

Turut hadir dalam sesi menghadap tersebut ialah Ketua Setiausaha Negara, Yang di-Pertua Dewan Negara, Yang di Pertua Dewan Rakyat dan Peguam Negara.

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button