Politik

Tan Sri Muhyiddin Yassin Sebagai Caretaker PM – Agong

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 16 Ogos 2021 – Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah berkenan supaya Mahiaddin bin Md. Yasin menjalankan tugas sebagai caretaker Perdana Menteri sehingga Perdana Menteri baharu dilantik, kata kenyataan dari Istana Negara sebentar tadi.

“Ini adalah selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Seri Paduka Baginda hendaklah melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri baharu untuk mempengerusikan Jemaah Menteri.”

Selaku Ketua Utama Negara, Seri Paduka Baginda memahami dan menghormati sistem dan proses perundangan negara dan juga menghormati apa-apa keputusan yang dibuat oleh Yang Amat Berhormat Tan Sri Mahiaddin bin Md. Yasin berteraskan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan Kedaulatan Undang-undang.

Menurut kenyataan itu lagi, Seri Paduka Baginda turut berkenan menerima sembah maklum daripada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya bahawa sehingga 10 Ogos, 2021, daripada sejumlah 613 kawasan Dewan Undangan Negeri, sebanyak 484 kawasan (79 peratus) adalah zon merah COVID-19.

Pada masa yang sama, Seri Paduka Baginda turut mengambil maklum bahawa fasiliti-fasiliti kesihatan negara juga berada pada situasi yang membimbangkan.

“Justeru, pada hemat Seri Paduka Baginda, pelaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-15 bukan satu pilihan yang terbaik atas faktor kemaslahatan dan keselamatan rakyat.”

Pada sesi menghadap Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, yang berlangsung selama 30 minit bermula dari jam 12.30 tengah hari tadi, Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima surat peletakan jawatan Yang Amat Berhormat Tan Sri Mahiaddin bin Md. Yasin sebagai Perdana Menteri dan jawatan seluruh Jemaah Menteri dengan serta-merta berkuat kuasa pada hari ini.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: