Muhyiddin Jamin Momentum Vaksinasi Tidak Terganggu
Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
KUALA LUMPUR, 16 Ogos 2021 – Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memberi jaminan peletakan jawatannya sebagai perdana menteri tidak akan mengganggu momentum pelaksanaan program vaksinasi yang sedang berjalan.
“Jangan bimbang, Kabinet saya telah menempah lebih 87 juta dos vaksin untuk penduduk negara ini yang melibatkan perbelanjaan sebanyak 4.36 bilion ringgit. Jumlah ini adalah lebih daripada mencukupi untuk saudara dan saudari sekalian.”
Katanya lagi, beliau dan rakan-rakan dalam Jemaah Menteri telah cuba melakukan yang terbaik untuk menyelamatkan nyawa dan melindungi kehidupan rakyat dalam tempoh krisis yang masih negara hadapi pada masa ini.
“Namun, sebagai manusia pastinya ada salah dan silap di sana ini. Jadi, saya memohon maaf.”
Ujar Muhyiddin lagi, tempoh dua bulan ke hadapan ini adalah amat penting kerana Malaysia dijangka mencapai imuniti kelompok pada bulan Oktober.
Oleh itu, beliau berharap kerajaan baharu dapat dibentuk dengan segera supaya pentadbiran negara ini tidak terganggu dan dapat berjalan seperti biasa.
“Segala perancangan yang telah digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara tidak boleh terbantut. Sektor-sektor ekonomi perlu dibuka semula untuk memastikan ekonomi negara dapat pulih dengan segera dan rakyat dapat menjana pendapatan untuk menyara diri dan keluarga.”