Tempatan

Undang-Undang Islam Asas Pemerintahan Negara – Prof Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR – Prof Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar menegaskan, asas undang-undang di Tanah Melayu pada asalnya adalah undang-undang Islam.

“Undang-undang Islam sebenarnya bukanlah satu benda yang terasing. Kita perlu faham bahawa asal usul negara ini adalah Semenanjung Tanah Melayu dan pemerintahannya adalah berdasarkan Kesultanan Melayu. Dan yang paling awal sekali Kesultanan Melayu Melaka.”

Tambahnya sewaktu sesi siaran langsung ‘Forum: Membunuh Perundangan Islam?’ anjuran Ilmuwan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ISLAMI), kenyataan ini menurut fakta sejarah yang dipersetujui oleh para pengkaji sejarah malah para sejarawan bersepakat bahawa Empayar Kesultanan Melayu Melaka merupakan sistem politik yang paling awal menggunakan Hukum Kanun Melaka.

“Dan apabila dirujuk pada Hukum Kanun Melaka, maka terdapatlah peruntukan berkaitan dengan semua aspek dalam Syariah, muamalat, munakahat, jinayat dan lain-lain lagi. Jadi ini menunjukkan bahawa asas bagi pemerintahan di negara ini awalnya ialah berdasarkan undang-undang Islam yang disesuaikan dengan adat Melayu berdasarkan Hukum Kanun Melaka.”

Ujar pensyarah Undang-Undang Ahmad Ibrahim Kulliyyah of Laws (AIKOL) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu lagi, ini dibuktikan lagi melalui buku yang ditulis oleh Professor Andrew Harding dalam Malaysian Constitution in Contextual Analysis.

“Dalam satu buku yang ditulis oleh Professor Andrew Harding dalam Malaysian Constitution in Contextual Analysis, beliau menyatakan bahawa Perlembagaan yang pertama di Tanah Melayu ialah dalam Hukum Kanun Melaka. Kerana di dalam Hukum Kanun Melaka itu disebut sistem pemerintahan Kesultanan Melaka. Adanya badan eksekutif, ada bendahara, ada temenggong, ada sistem kehakiman dan seterusnya. Ini diiktiraf oleh sejarawan dan juga ahli undang-undang. Menunjukkan bahawa, asas undang-undang di Tanah Melayu pada asalnya adalah undang-undang Islam.”

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: