Urusan Pentadbiran Perkhidmatan Awam Tidak Terjejas – KSN
Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
KUALA LUMPUR, 16 Ogos 2021 – “Saya memberi jaminan bahawa Perkhidmatan Awam terutama anggota barisan hadapan sentiasa memberikan komitmen penuh dalam memastikan sistem penyampaian Kerajaan tidak terjejas berteraskan dasar semasa Kerajaan”, jelas Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki bin Ali.
Tambah Ketua Setiausaha Negara itu, urusan pentadbiran seharian akan terus diterajui oleh Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan seperti biasa.
“Anggota keselamatan terutamanya PDRM dan ATM sentiasa dalam keadaan siap siaga bagi menjaga keamanan dan ketenteraman awam.”
Katanya lagi, segala usaha, bantuan dan inisiatif yang melibatkan peruntukan yang besar tidak akan terjejas demi kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat terutama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang menjadi senjata ampuh dalam melawan pandemik COVID-19 ini.
“Perkhidmatan Awam komited mendukung konsep neutrality dan government of the day berlandaskan rule of law. Jentera Kerajaan sentiasa sedaya upaya melaksanakan semua dasar yang telah diputuskan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat terutama dalam tempoh yang sangat mencabar ini.
Justeru, anggota Perkhidmatan Awam akan terus menggalas amanah yang dipertanggungjawabkan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan berpegang teguh kepada ikrar Perkhidmatan Awam dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan Negara.