Politik

Lompat Parti Atau Berpaling Tadah Perlu Dijadikan Perbuatan Tidak Sah – Dr Khairil Azmin Mokhtar

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 23 Ogos 2021 – “Sudah tiba masanya Parlimen Malaysia menggubal undang-undang Anti Lompat Parti bagi mengatasi salah satu masalah terbesar politik dalam negara,” kata Pakar Undang-Undang dan Perlembagaan UIAM, Prof Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar.

“Tindakan melompat parti atau berpaling tadah sama ada di Dewan Undangan Negeri atau Parlimen seharusnya dijadikan sebagai satu perbuatan yang tidak sah bagi memelihara kedaulatan undang-undang dan integriti Perlembagaan.”

Menurutnya, banyak persoalan yang timbul, antaranya apakah alasan ahli-ahli politik ini menukar parti; adakah pertukaran itu disebabkan faktor duit ataupun suapan dan sebagainya sehingga boleh membawa kepada tumbangnya sesebuah kerajaan yang memerintah.

Kalau di Malaysia, kita lihat Perdana Menteri sebelum ini Tan Sri Muhyiddin Yasin ada mencadangkan supaya meminda Perlembagaan untuk digubal sebagai undang-undang bagi menghalang Ahli Parlimen melompat parti.

“Dan tujuan itu memang jelas sekaligus mengelakkan kerajaan terlalu kerap bertukar disebabkan Ahli Dewan Rakyat yang lompat parti, dan secara tidak langsung akan mengurangkan politik wang, bagaimanapun perkara itu tidak sempat dilaksanakan.”

Ujar beliau, perkembangan tidak sihat ini disebabkan kerapuhan di dalam sistem demokrasi berparlimen di mana kemungkinan untuk kerajaan bertukar daripada satu pilihan raya ke satu pilihan raya dibenarkan.

“Jadi sistem demokrasi berparlimen yang digunakan di negara kita ini memang tidak menafikan kemungkinan bertukar kerajaan beberapa kali sebelum pilihan raya ke pilihan raya seterusnya. Maka disebabkan perkara itulah yang YDPA hendak elakkan semasa perlantikan Perdana Menteri yang baharu yang akhirnya diberikan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.”

Tegas Dr Khairil Azmin, sehingga hari ini, Malaysia telah berdepan beberapa pergolakan politik yang serius dan mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat.

“Budaya beralih parti selepas diundi oleh rakyat bagaikan satu pengkhianatan terhadap kepercayaan yang diberikan kepada mereka. Perlakuan sedemikian adalah politik yang tidak beretika dan perlu dielak bagi memelihara struktur demokratik di negara ini.”

Tambah Dr Khairil Azmin, undang-undang Anti Lompat Parti adalah mustahak demi memperkukuh kestabilan politik dan kepercayaan umum terhadap proses demokrasi selain tidak menjejaskan keputusan yang dibuat oleh pengundi yang mempunyai hak mereka sebagai rakyat.

“Justeru, kita amat berharap kerajaan yang baru dilantik ini akan berusaha menjayakan penggubalan undang-undang Anti Lompat Parti bagi menangani keadaan yang membarah di kalangan Ahli Parlimen ketika ini.”

Leave a Reply

Back to top button