Tempatan

Murid Terkesan Banjir Boleh Berpakaian Biasa Hadir Ke Sekolah

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 03 Januari 2024 – Murid yang terjejas akibat banjir dibenarkan untuk hadir ke sekolah dengan berpakaian biasa sekiranya pakaian mereka musnah semasa banjir.

Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, surat peringatan sudah dikeluarkan oleh pihaknya sejak Oktober lalu berhubung kesiapsiagaan menghadapi banjir yang membenarkan perkara tersebut.

Malah, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut membuat tuntutan takaful untuk murid serta pelajar KPM yang dilaporkan lemas di Kelantan iaitu sebanyak RM5,500 seorang dan ia akan diserahkan kepada keluarga mangsa.

Manakala, sekolah-sekolah yang terkesan banjir serta sekolah yang dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) pula akan diberikan bantuan RM2,000 oleh Yayasan Guru Tun Hussein Onn.

Dalam pada itu, sewaktu ditanya berhubung pengoperasian sekolah ketika kes COVID-19 sedang meningkat, beliau berkata surat peringatan sudah dikeluarkan oleh KPM kepada semua institusi pendidikan di bawah KPM mengenai perkara tersebut.

Jelas beliau, semua institusi pendidikan KPM diminta untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara dari semasa ke semasa.

Semua institusi pendidikan KPM juga diminta untuk mempraktikkan langkah-langkah pencegahan COVID-19 serta jangkitan respiratori lain yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kata beliau lagi.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: