Tempatan

Agong Berkenan Kurnia Rumah Kepada Mangsa Banjir

PEKAN – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan rumah baharu kepada dua orang mangsa banjir yang terjejas teruk masing-masing di Kampung Sungai Gangchong, Acheh dan Kampung Tanjung Pulai.

Baginda semalam mencemar duli berangkat turun padang melawat tapak pembinaan rumah baharu tersebut diiringi empat anakanda iaitu Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dan Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah.

Dalam lawatan itu, baginda sempat mendengar taklimat ringkas oleh Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang Hafizah Zakaria, yang memaklumkan, kerja-kerja pembinaan rumah setingkat berkeluasan 660 kaki persegi itu akan bermula pada minggu hadapan.

Menurut Hafizah, pembinaan rumah dengan kos sebanyak RM100,00 itu mempunyai tiga bilik selain dilengkapi ruang makan dan tandas serta dibina di atas tanah milik mangsa banjir sendiri.

Tempoh pembinaan dijangka mengambil masa 16 minggu yang dibina di atas tanah milik mangsa banjir sendiri.

Dalam masa yang sama, baginda turut menyampaikan titah agar kontraktor yang dilantik menyiapkan rumah-rumah berkenaan mengikut spesifikasi dan masa yang ditetapkan.

Pemilik rumah, Nur Hasnah Mat Yunos di Kampung Sungai Gangchong, Acheh dan Mohd Khanafiah Abu Bakar di Kampung Tanjung Pulai bersyukur dengan pemberian yang tidak dijangka ini.

Hasnah, 60 tahun merupakan seorang ibu tunggal dan menetap bersama tiga anak dan dua orang cucunya.

“Rumah kami hanya rumah papan, bila banjir habis lantai rosak. Junjung kasih kepada Tuanku yang begitu baik dan sudi membina rumah baharu untuk kami.”

Manakala Khanafiah pula berkata, “Saya sangat terharu, rumah berkenaan merupakan rumah pusaka kami dan adik beradik, untuk berkumpul ketika raya dan kenduri, kami sangat menghargai pemberian baginda ini,” ujarnya yang sekarang ini menumpang di rumah saudaranya buat sementara waktu.

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button