Tempatan

Pembaharuan Cukai Jalan, Lesen Memandu Boleh Dibuat Di Aplikasi MyJPJ Mulai Februari Ini

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

SHAH ALAM, 02 Januari 2023 – Pembaharuan Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) menerusi aplikasi MyJPJ boleh dilaksanakan mulai 1 Februari depan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook ketika mengumumkan perkara itu berkata, pertambahan fungsi baharu tersebut akan memudahkan orang awam untuk memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu secara digital selain menjimatkan masa dan kos.

Katanya, peringkat awal inisiatif baharu itu bagaimanapun hanya melibatkan kenderaan persendirian individu warganegara Malaysia.

“Pelaksanaan urusniaga pembaharuan cukai jalan melalui aplikasi ini akan dilaksanakan secara berfasa yang mana pada peringkat permulaan hanya melibatkan kenderaan persendirian individu (warganegara),” katanya selepas mengadakan sesi lawatan ke JPJ Selangor, pada Isnin.

Jelasnya, individu yang menggunakan Lesen Memandu Malaysia Digital (e-LMM) ketika membuat pembaharuan turut akan menikmati rebat RM5.

“Rebat bermula 1 Februari sehingga 31 Disember tahun ini hanya bagi mereka yang memilih e-LMM menerusi kaunter JPJ, portal mySIKAP, aplikasi MyJPJ atau rakan niaga JPJ.”

“Inisiatif itu juga hanya kepada warganegara dan tidak terpakai kepada warga asing atau mana-mana pemegang pas permit jangka masa panjang, kad MyKAS dan kad MyPR,” ujarnya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: