Musim Banjir: Cuti Kakitangan KKM Mungkin Dibekukan
SEGAMAT, 06 November 2023 – Cuti kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) di seluruh negara kemungkinan akan dibekukan sebagai persediaan bagi menghadapi banjir ketika Monsun Timur Laut.
Menurut Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa, buat masa ini perkara tersebut belum dilaksanakan kerana masih belum ada keperluan selagi kejadian banjir di negara ini masih terkawal.
“Setakat ini kita memantau tapi memang kita memberi ‘alert‘ kepada petugas…saya rasa memang kebiasaannya ada (beku cuti) kita tengok meteorologi dan sebagainya.”
“Jika ada risiko banjir itu tinggi memang kita biasanya akan bekukan tetapi setakat ini masih belum lagi,” katanya kepada pemberita di Mini Karnival Madani Afiat Zon Bukit Siput Segamat di Dewan Taman Fajar, Bukit Siput, pada Ahad.
Dr Zaliha berkata, setakat ini KKM telah melakukan persediaan menghadapi bencana banjir dari pelbagai sudut termasuklah fasiliti, ubat-ubatan dan sebagainya.
Tambahnya, KKM juga akan turut sentiasa berwaspada dengan penyediaan makanan ketika banjir bagi mengelak bawaan penyakit.