Tempatan

Lakukan Persediaan Awal Hadapi Banjir – METMalaysia

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 23 Disember 2023 – Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) menasihati orang ramai agar melakukan persediaan awal, terutamanya bagi mereka yang tinggal di kawasan yang rendah.

Pengarah Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional METMalaysia, Maqrun Fadzli Mohd Fahmi berkata, langkah-langkah kesiapsiagaan itu perlu diambil sekiranya kawasan tempat tinggal masing-masing menerima amaran hujan berterusan tahap waspada kerana terdapat risiko bencana susulan amaran tersebut.

“Ada sesetengah tempat, saban tahun akan mengalami hujan lebat sehingga dilimpahi air.”

“Bagi mereka yang duduk di kawasan sebegini, lebih baik lakukan persediaan awal dari segi keperluan untuk berpindah, simpan dokumen-dokumen serta ubat-ubatan yang diperlukan dan sebagainya.”

“Bagaimanapun, semua maklumat-maklumat ini sentiasa dipantau oleh jabatan tertentu,”

Mengulas lanjut, Maqrun berkata terdapat beberapa kategori berbeza yang dikeluarkan oleh METMalaysia dari segi amaran hujan lebat.

“Pertama ialah amaran ribut petir yang akan dikeluarkan sekiranya kita jangka ada ribut petir yang kebiasaannya tidak berlaku dalam satu tempoh masa yang panjang.”

“Tetapi dalam tempoh masa yang pendek, ia boleh membawa hujan yang agak lebat untuk sesetengah kawasan dan berpotensi untuk menjadi banjir kilat,” katanya.

Seterusnya, amaran kedua iaitu amaran hujan lebat berterusan yang biasanya dikeluarkan apabila dijangka hujan akan turun di satu-satu tempat dalam tempoh masa yang lama.

“Sebagai contoh, pada pertengahan bulan November hingga awal Januari, ia berpotensi berlaku di negeri-negeri pantai timur Semenanjung disebabkan oleh kesan tiupan angin.”

“Apabila berlaku keadaan ini, METMalaysia akan mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan yang kita pecahkan kepada tiga iaitu peringkat waspada (kuning), buruk (jingga) atau bahaya (merah),” jelasnya.

Katanya lagi, segala maklumat berkenaan cuaca akan dikemas kini di laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi METMalaysia.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: