Tempatan

Terengganu Dijangka Berdepan Banjir Gelombang Ketiga Sabtu Ini

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA TERENGGANU, 20 Disember 2023 – Hujan lebat beserta angin kencang dijangka melanda Terengganu bermula Sabtu ini sehingga membawa kepada banjir gelombang ketiga.

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja, Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil berkata pihaknya menerima laporan daripada Jabatan Meteorologi (METMalaysia) susulan daripada kejadian ribut tropika Jelawat yang melanda di Tenggara Filipina.

“Banjir gelombang kedua yang melanda negeri ini baharu sahaja pulih apabila semua pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup sepenuhnya pada jam 2 petang semalam.”

“Kita menjangkakan hujan lebat serta angin kencang kemungkinan dijangka berlaku mulai Jumaat ini.”

“Sekiranya terdapat kesan daripada ribut tropika Jelawat, kita mungkin akan menghadapi hujan yang berat (lebat) dan kemuncaknya pada 24 dan 25 Disember ini.”

Mengulas lanjut, Tengku Farok Hussin berkata pihaknya dimaklumkan hujan lebat akan melanda seluruh negeri ini membabitkan kawasan pesisir pantai.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan penduduk terutama yang tinggal di kawasan pesisir pantai supaya lebih berhati-hati dan sentiasa berwaspada.

“Mengikut ramalan yang dikeluarkan, hujan lebat dan angin kencang ini membabitkan daerah Besut hingga Kemaman, disusuli kawasan pendalaman.”

“Malah, kita juga memberi arahan kepada semua pengerusi bencana daerah supaya memberi tumpuan di kawasan masing-masing terutama kawasan ‘hotspot‘,” maklumnya.

Hari ini, METMalaysia mengemaskini Amaran Hujan Berterusan yang melibatkan negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor.

Menurut ramalan, luruan monsun dijangka berlaku sehingga 25 Disember. Justeru orang awam dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web dan media sosial rasmi METMalaysia bagi maklumat terkini dan berjaga-jaga akan perubahan cuaca.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: