Tempatan

Kerajaan Pahang Lulus Rancangan Tebatan Banjir Sungai Semantan

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUANTAN, 05 April 2022 – Kerajaan Negeri Pahang telah meluluskan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Semantan bagi Fasa 1 dalam Rolling Plan Kedua (RP2) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Menurut Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, YAB Menteri Besar Pahang, projek ini telah ditender pada bulan November tahun lalu oleh Ibu Pejabat Jabatan Pengairan & Saliran (JPS) Malaysia.

Walaupun sedemikian, beliau memaklumkan bahawa Surat Setuju Terima hanya akan dikeluarkan apabila permohonan peruntukan tambahan diluluskan bagi proses pengambilan semula tanah.

Demikian jawapan beliau kepada soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Mentakab, YB Encik Woo Chee Wan mengenai projek tebatan banjir di Mentakab pada penggulungan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan.

Selain itu, ADN Triang turut mengajukan soalan kepada MB Pahang berkenaan perancangan pembangunan bagi mengelakkan banjir di kawasan tersebut.

Dato’ Wan Rosdy memaklumkan bahawa kerajaan melalui JPS telah memasukkan permohonan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Triang dalam RP3 RMK-12 dengan anggaran kos RM92.5 juta.

Di samping itu, kajian Pelan Induk Mesra Alam (PISMA) Bera juga diluluskan dan perlaksanaan dijangka bermula
pada pertengahan tahun ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri komited membantu mangsa banjir di Pahang, terutama yang mengalami kerosakan atau kehilangan rumah dengan mengadakan kerjasama dengan pelbagai pihak.

“Kerajaan negeri telah bekerjasama dengan beberapa pihak yang sudi memberikan sumbangan untuk membina rumah baharu yang musnah akibat banjir iaitu Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan Kedutaan Emiriah Arab Bersatu (UAE),” kata Dato’ Sri Haji Wan Rosdy ketika disoal YB Puan Young Shefura Othman, ADN Ketari.

Rumah-rumah yang dibaikpulih oleh agensi-agensi di bawah KPLB dan KPKT pula dijangka siap pada penghujung April 2022.

“Manakala kerja pembinaan semula rumah akan bermula sebaik sahaja peruntukan diperolehi pada awal April tahun ini,” katanya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: