Tempatan

Amaran: Malaysia Dijangka Hadapi Jerebu 14 Mei Ini

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 13 Mei 2022 – Jabatan Meteorologi Malaysia (METMALAYSIA) menjangkakan fenomena jerebu mungkin berlaku bermula 14 Mei ini sehingga pertengahan September 2022 berikutan bermulanya musim Monsun Barat Daya.

“Monsun Barat Daya dijangka bermula pada 14 Mei 2022 dan akan berterusan sehingga pertengahan September 2022.”

”Semasa Monsun Barat Daya, lazimnya angin bertiup secara konsisten dari arah barat daya dengan kelembapan udara yang lebih rendah dan keadaan atmosfera yang lebih stabil,” kata Ketua Pengarah METMALAYSIA, Muhammad Helmi Abdullah dalam satu kenyataan media.

Ujarnya, kebanyakan tempat di seluruh negara akan mengalami bilangan hari tanpa hujan lebih banyak berbanding musim lain.

Oleh itu, pembakaran terbuka haruslah dielakkan bagi mengurangkan kesan jerebu dan pencemaran alam sekitar.

Hal ini kerana fenomena jerebu boleh berlaku sekiranya pembakaran terbuka tidak terkawal terutamanya semasa Ogos hingga Oktober dalam tempoh Monsun Barat Daya.

Selain itu, pengaruh faktor luar seperti ribut tropika di negara berhampiran seperti Filipina boleh menyebabkan keadaan menjadi kering di Semenanjung.

“Di Indonesia, berkemungkinan berlakunya kebakaran hutan kerana cuaca kering adalah tinggi dan angin akan datang dari barat daya (membawa asap) ke negara kita dalam bentuk jerebu,” maklum Muhammad Helmi menurut portal Selangor Kini.

Dalam kenyatan media yang sama, beliau turut menyarankan agar orang ramai menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh Monsun Barat Daya ini.

Walau bagaimanapun, ujar Muhammad Helmi, fenomena garis badai (squall line) masih boleh berlaku di pantai barat Semenanjung dan barat Sabah pada awal pagi.

“Hujan lebat berserta angin kencang dan petir berikutan fenomena garis badai (squall line) masih boleh berlaku di pantai barat Semenanjung dan barat Sabah pada awal pagi.”

“Garis badai adalah garisan ribut petir yang terbentuk akibat penumpuan angin dan boleh berlarutan sehingga beberapa jam,” kata beliau.

Untuk maklumat cuaca terkini dan sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai bolehlah melayari laman web, aplikasi mobil myCuaca, media sosial dan Hotline Jabatan Meteorologi Malaysia di 1-300-22-1638.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: